Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, menegaskan bahawa parti itu sebenarnya boleh 'menebuk atap' lebih awal, bukan ketika krisis kepimpinan yang menyaksikan 14 Adun menarik balik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun pada Isnin lalu.
Peluang memimpin selepas PRN 2023
Menurut Jalaluddin, Umno dan Barisan Nasional (BN) boleh mengetuai pentadbiran kerajaan perpaduan negeri itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. Ketika itu, mereka memenangi 14 kerusi, berbanding DAP (11), PKR (5), dan Amanah (1) yang bergabung di bawah Pakatan Harapan (PH). Perikatan Nasional (PN) pula memperoleh lima kerusi.
“Umno dikatakan mengkhianati perjanjian kerajaan perpaduan, tapi kalau nak 'tebuk atap' 2023 dah buat kerana kita ada kerusi banyak. Ramai orang mesej dan berkata Jalal, this is your time. Tetapi saya menghormati keputusan pusat menubuhkan kerajaan perpaduan supaya menjaga kesejahteraan, kesinambungan dan meneruskan khidmat,” katanya berucap pada Konvensyen 80 Tahun Umno di WTCKL.
Hubungan dengan Aminuddin
Jalaluddin, yang juga Adun Pertang, menegaskan bahawa sejak penubuhan kerajaan perpaduan Negeri Sembilan, beliau selaku exco kanan membantu Aminuddin dan mempromosikan dasarnya di semua peringkat. “Dua tahun setengah saya buat kerja, ada dengar saya mengamuk dengan Aminuddin?” katanya menjelaskan kepada perwakilan situasi politik di negeri itu.
Beliau mengulangi alasan tindakan menarik balik sokongan itu berpunca daripada kegagalan Aminuddin menguruskan krisis institusi perlembagaan negeri sehingga menjadi perhatian umum. Tambahnya, Aminuddin sepatutnya bertindak sebagai orang tengah yang menghubungkan semua pihak terbabit supaya isu berbangkit dapat diselesaikan.
Rujukan kepada pentadbiran Tok Mat
Jalaluddin turut mengimbau pentadbiran Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, ketika menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan berdepan situasi pemecatan Undang Luak Johol pada 2016. “Tok Mat (Mohamad) tubuhkan jawatan khas bagi meneliti segala persoalan tanpa campur tangan kerajaan negeri. Jawatankuasa itu bentang balik ke Dewan Keadilan Undang (DKU), selepas itu keputusan dibuat untuk diisytiharkan sebagai sah,” katanya.



