Umno yang Ada Sekarang Berusia 38 Tahun, Bukan 80
Umno Kini Berusia 38 Tahun, Bukan 80

Esok ulang tahun Umno yang ke-80? Bagi saya, Umno yang sepatutnya berusia 80 tahun, iaitu yang lahir pada 1946, sudah tiada. Yang ada hanyalah Umno yang lahir pada 1988.

Tok Mat Minta Ahli Berhenti 'Jual Sejarah'

Beberapa hari lalu, tepat pada 1 Mei, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, meminta ahli partinya berhenti 'menjual sejarah'. Mungkin kata-katanya menimbulkan pelbagai andaian, tetapi apa yang Tok Mat mahu sampaikan ialah ahli Umno jangan leka dibuai nostalgia dan rintihan emosi. Menurut saya, ahli dan pemimpin Umno sekarang janganlah syok sendiri dengan mengenang zaman kegemilangan. Zaman itu sudah berlalu, maka Tok Mat tidak mahu Umno asyik 'jual sejarah'.

Kepentingan Sejarah Menurut Tok Mat dan Khairy

Meskipun begitu, sejarah membicarakan perkara tentang masyarakat manusia, peradaban dunia, dan perubahan yang berlaku pada sifat-sifat masyarakat, menurut Ibn Khaldun. Orang Melayu lazim berpesan, 'sejarah mengajar kita menjadi lebih dewasa', iaitu memahami kesilapan dan kejayaan masa lalu untuk bertindak lebih bijak. Begitu pentingnya sejarah hingga kerajaan sejak 2013 mewajibkan lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Pada Januari lalu, Perdana Menteri mengumumkan semua sekolah termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama, serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu atau UEC diwajibkan mengambil subjek Sejarah dalam SPM. Tidak mungkin Tok Mat tidak tahu semua itu semasa meminta Umno berhenti 'jual sejarah' dan fokus pada masa depan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Enam hari kemudian, Khairy Jamaluddin yang kini sudah bukan bekas Umno tampil bercakap tentang sejarah. Katanya, kekeliruan orang ramai yang semakin menular mengenai aspek sejarah Malaysia harus dipersalahkan kepada ahli akademik yang 'penakut'. Dalam satu sedutan daripada podcast Keluar Sekejap, Khairy mengkritik profesor dan pakar sejarah yang katanya berdiam diri ketika maklumat salah mengenai masa lampau negara tersebar. Beliau tidak pula memetik apa-apa kes atau contoh secara spesifik. 'Kepada tokoh sejarah di Malaysia ini, apa guna awak jadi pensyarah di IPTA, dibayar oleh duit pembayar cukai kalau awak takut untuk tampil mempertahankan sejarah negara,' kata Khairy. Keras serangan itu, dan ada lagi tetapi tidak perlulah saya ulangi. Lagipun sudah ada kenyataan balas daripada para akademik dan ahli sejarah.

Saya cuma ingin menyatakan bahawa semasa Tok Mat berkata demikian, beliau berucap pada majlis yang dipanggil Konvensyen Umno ke-80 di ibu negara. Khairy turut hadir. Konvensyen itu diadakan lebih awal daripada hari ulang tahun parti yang ke-80 esok. Oleh kerana Tok Mat dan Khairy adalah orang kuat parti dan bercakap mengenai sejarah, saya juga ingin bercakap mengenai sejarah Umno.

Sejarah Sebenar Umno: Diharamkan pada 1988

Mengikut sejarah dan berdasarkan fakta serta informasi sahih, Umno yang dilahirkan pada 11 Mei 1946 diisytiharkan haram oleh Hakim Harun Hashim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari 1988. Harun dilapor berkata beliau tidak ada pilihan melainkan mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan yang tidak sah kerana wujudnya beberapa cawangan yang tidak didaftarkan dan dianggap tidak sah di bawah Akta Pertubuhan. Ini sekadar memendekkan cerita, namun perlu juga dinyatakan keputusan itu berikutan satu tindakan sivil yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 1987 oleh 11 ahli Umno. Kumpulan 11 orang itu memohon, antara lain, suatu pengisytiharan bahawa pemilihan calon yang menang semasa Perhimpunan Agung Umno pada April 1987 bertentangan dengan perlembagaan parti, tidak sah, dan dianggap terbatal serta tidak mempunyai kesan. Pada pemilihan 1987, Dr Mahathir Mohamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah dengan majoriti tipis 43 undi pada perebutan jawatan presiden. Kesimpulannya, kumpulan 11 orang itu mahu kemenangan Mahathir dibatalkan, tetapi apa yang berlaku ialah Umno yang diharamkan. Ini sejarah. Butir terperinci boleh didapati dalam talian dan juga bahan cetak yang ada di perpustakaan dan pejabat media.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Penubuhan Umno Baru dan Manipulasi Sejarah

Lanjutan daripada itu, banyak pihak cuba menghidupkan semula Umno. Butiran ini juga boleh didapati dalam talian atau cetakan, dan tidak ada siapa yang takut menceritakan sejarah ini. Tengku Razaleigh juga banyak membuat huraian sejak dahulu. Baru-baru ini beliau sekali lagi memberikan sisi ceritanya. Podcast yang menyiarkan penjelasan beliau boleh diikuti di YouTube. Apa pun, Mahathir yang memegang jawatan perdana menteri semasa Umno diharamkan berjaya menubuhkan apa yang dinamakan Umno (Baru) untuk menggantikan atau mengambil alih Umno asal. Beliau mendaftarkan Umno (Baru) pada 13 Februari 1988. Awal penubuhannya, perkataan 'Baru' diletakkan dalam kurungan selepas perkataan 'Umno', dan perkataan 'Baru' itu dikaburkan. Lama-kelamaan, 'Baru' lenyap, maka tinggallah hanya 'Umno' sehingga ke hari ini. Penjelasan pemimpin parti waktu itu ialah sesebuah parti baharu, kata mereka, yang dalam satu jangka masa menunjukkan ciri-ciri asal akan atau boleh dianggap parti asal. Wallahu a'lam.

Ramai pemerhati politik termasuk saya bersetuju dengan pandangan bahawa Umno (Baru) ialah parti baharu jika dilihat dari segi undang-undang, tetapi telah berjaya mewujudkan naratif kesinambungan dengan Umno asal. Saya pernah baca satu hantaran di Facebook yang menyifatkan apa yang berlaku sebagai manipulasi sejarah halus yang berkesan.

Kesimpulan: Umno Kini Berusia 38 Tahun

Apa pun, esok ulang tahun Umno yang ke-80? Bagi saya, Umno yang sepatutnya berusia 80 tahun, iaitu yang lahir pada 1946, sudah tiada. Yang ada hanyalah Umno yang lahir pada 1988. Oleh itu, bagi saya, Umno yang ada sekarang berusia 38 tahun meskipun perkataan 'Baru' sudah lenyap. Ulang tahun ke-38 Umno 1988 ialah pada 13 Februari lalu. Terpulang kepada Umno sama ada mahu anggap dirinya sudah tua berusia 80 tahun atau masih muda berusia 38 tahun. Diakui Umno boleh berkata suka hati mereka untuk meraikan ulang tahun ke-80. Betul, memang suka hati Umno. Apa yang dicatat di atas bukan cerita baru. Perkara tentang ulang tahun Umno juga bukan baru. Namun, bagi mereka yang mementingkan ketepatan, perlu melihat sejarah. Lagipun, pemimpin Umno suka berbicara tentang sejarah.