Sasaran Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menunjukkan cita-cita gabungan itu sebagai blok pembangkang utama, walaupun hanya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya negeri (PRN) lalu, menurut penganalisis.
Pandangan penganalisis
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpandangan bahawa PN wajar bertanding di banyak kerusi untuk menyaingi Barisan Nasional (BN) selaku penyandang, selain berdepan cabaran Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa di peringkat pusat.
“Walaupun prestasi tidak menentu di Johor, tetapi sebagai sebuah gabungan besar, ia sesuai bertanding di semua 56 kerusi kerana itulah posisi sepatutnya,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Bersatu Johor Sahruddin Jamal, Isnin lalu, berhubung sasaran PN bertanding semua 56 DUN pada PRN akan datang.
Spekulasi PRN serentak
DUN Johor dijangka terbubar automatik pada 21 April tahun depan, namun ada spekulasi bahawa PRN mungkin diadakan serentak dengan Melaka. DUN Melaka terbubar automatik pada Disember depan, dengan Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh menyatakan PRN boleh diadakan pada bila-bila masa dalam tempoh itu.
Bagaimanapun, Chin Yee Mun dari Universiti Tunku Abdul Rahman berkata sasaran PN itu ‘tidak bertepatan’ dengan kekuatan sebenar gabungan berkenaan di Johor. Menurutnya, BN masih mempunyai kedudukan kuat dengan penguasaan 40 daripada 56 kerusi, selain ketidakmampuan PN menarik pengundi di DUN bercampur.
“Hanya setakat bertanding sahaja, PN tiada kekuatan di kerusi,” katanya.
Muda dan strategi politik
Sementara itu, kedua-dua penganalisis bersetuju bahawa hasrat Muda untuk bertanding lima hingga 10 kerusi lebih mencerminkan batas kemampuan parti itu, berbanding keyakinan mencatat kemenangan besar.
Chin berkata langkah Muda mungkin lebih bersifat strategik bagi memastikan parti itu terus mendapat perhatian politik. “Bagi Muda, langkah bertanding di 10 kerusi mungkin langkah strategik untuk tujuan ‘visibility’ sahaja. Muda tiada kekuatan untuk menang jika tidak menyertai mana-mana gabungan,” katanya.
Mazlan pula berkata Muda tidak mempunyai asas sokongan akar umbi yang kuat, selain lebih tertumpu kepada pengundi muda dan kawasan bandar. Beliau berkata kemenangan tunggal Muda di Puteri Wangsa pada PRN Johor 2022 berlaku selepas parti itu diberi laluan oleh PH, manakala pada PRN enam negeri, parti itu gagal memenangi sebarang kerusi.
“Muda tahu batas dan keupayaan parti itu,” katanya.



