Rujuk penangguhan AKPS ke majlis MA63, gesa Ahli Parlimen
Rujuk penangguhan AKPS ke majlis MA63, gesa MP

Seorang Ahli Parlimen menggesa isu penangguhan pelaksanaan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Sabah dirujuk ke majlis perundingan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta-merta. Wakil rakyat Tuaran, Wilfred Madius Tangau, berkata isu tersebut menyerlahkan apa yang disifatkannya sebagai sikap berterusan Putrajaya mengetepikan hak perlembagaan Sabah.

Beliau mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, membawa perkara itu ke majlis berkenaan bagi “pertimbangan yang mendesak dan menyeluruh”.

“Menteri mesti secara terbuka dan terkini memaklumkan kepada masyarakat di Sabah dan Sarawak hasil pertimbangan tersebut serta langkah-langkah konkrit yang akan diambil bagi mencegah pelanggaran perlembagaan seperti ini daripada terus berlaku,” menurut kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pada 13 Mei, kerajaan Sabah menangguh dasar dan pelaksanaan AKPS sehingga memperolehi persetujuan bahawa tidak ada sebarang penghakisan kepada hak istimewa serta kuasa autonomi imigresennya. Ketua Menteri Hajiji Noor memaklumkan bahawa Jemaah Menteri Sabah mendapati terdapat elemen penghakisan kuasa-kuasa serta hak keistimewaan imigresen Sabah melalui sifat perundangan dan pengoperasian imigresen, selepas meneliti pelaksanaan AKPS di negeri itu.

Tangau berkata ini menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan “sekali lagi gagal mematuhi jaminan perlembagaan yang melindungi Sabah dan Sarawak bawah Perkara 161E Perlembagaan”. Beliau berkata ia mencerminkan suatu corak di mana undang-undang persekutuan yang menjejaskan Sabah dan Sarawak dilaksanakan tanpa persetujuan yang diperlukan oleh perlembagaan daripada negeri-negeri berkenaan, sambil memetik Akta Pelantar Benua, Akta Perikanan, Akta Laut Wilayah, dan kini, Akta AKPS.

“Undang-undang ini menjejaskan secara langsung hak, bidang kuasa dan kedudukan perlembagaan Sabah dan Sarawak, namun ia tetap dilaksanakan tanpa persetujuan yang dikehendaki di bawah Perkara 161E Perlembagaan.

“Kegagalan berulang kali untuk mematuhi keperluan perlembagaan ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Ia menjejaskan semangat dan jaminan yang terkandung dalam MA63,” katanya.

Tangau menuduh kerajaan persekutuan mengetepikan bantahan yang dibangkitkan oleh pemimpin Sabah, termasuk menteri-menteri persekutuan dari negeri tersebut, berhubung kebimbangan bahawa AKPS boleh menghakis autonomi imigresen Sabah.

“Dalam kes AKPS, kami telah dimaklumkan bahawa perundangan subsidiari akan diperkenalkan untuk melindungi hak dan kepentingan Sabah dan Sarawak. Malang sekali, jaminan itu kini dilihat tidak ditunaikan.

“Perkara 161E bukan sekadar simbolik. Ia adalah perlindungan perlembagaan yang mengikat yang mesti dihormati dan dipatuhi secara jujur dan sepenuhnya,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga