Peranan pekerja adalah penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memastikan kestabilan serta kemakmuran negara terus terpelihara, walaupun berdepan dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Pekerja tonggak pembangunan negara
Menurut satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim hari ini, baginda bertitah bahawa kebajikan pekerja mesti sentiasa diberi perhatian, termasuk aspek keselamatan, keseimbangan kerja-kehidupan dan peluang pembangunan kerjaya, supaya mereka kekal berdaya tahan dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi.
Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah, turut menyampaikan ucapan Hari Pekerja kepada semua pekerja yang menjadi tonggak pembangunan negara.
“Baginda berdua merakamkan penghargaan atas pengorbanan dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pekerja dalam pelbagai sektor, sama ada di sektor awam mahupun swasta,” menurut hantaran tersebut.
Baginda berdua juga mendoakan agar semua pekerja di negara ini sentiasa dilindungi dan dikurniakan kesihatan serta kesejahteraan dalam menjalankan tugas. — Bernama



