Perikatan Nasional (PN) mengesahkan akan mencalonkan wakil di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada pilihan raya negeri akan datang, mengikut jejak Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, Timbalan Pengerusi PN, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata gabungan itu masih terbuka untuk mengadakan perundingan dengan pihak lain bagi mengelakkan pertembungan sesama parti pembangkang.
“PN bersedia untuk bertanding di semua kerusi, tetapi kami mungkin membuka ruang untuk berbincang dengan beberapa parti lain supaya parti pembangkang tidak bertembung antara satu sama lain,” katanya di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.
Tuan Ibrahim berkata PN bersedia untuk berdepan PH dan BN bukan sahaja di Johor, tetapi juga di negeri-negeri lain.
Pada pilihan raya negeri Johor 2022, PN bertanding di semua 56 kerusi DUN tetapi hanya memenangi tiga kerusi. BN membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 kerusi, manakala PH memperoleh 12 kerusi dan Muda satu kerusi.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar, Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan bahawa gabungannya akan bertanding di semua 56 kerusi dalam pilihan raya negeri tersebut.
Keesokan harinya, Pengerusi PH, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa gabungannya bersedia untuk bertanding di semua kerusi pada pilihan raya negeri dan umum akan datang. Namun, Presiden PKR itu berkata masih ada ruang untuk perbincangan sebelum keputusan muktamad dibuat.
Dewan Undangan Negeri Johor akan dibubarkan secara automatik pada April tahun depan sekiranya pilihan raya tidak diadakan sebelum itu, dan proses pilihan raya mesti dilaksanakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran.



