PM mahu pindaan Akta Mara siap dalam tempoh tiga bulan
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengarahkan draf pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (Mara) 1966 disiapkan dalam tempoh tiga bulan, menurut laporan media tempatan.
"Kenapa perlu tunggu sampai hujung tahun? Beri saya draf pindaan itu dalam tempoh tiga bulan. Saya tidak perlu tunggu begitu lama. Perkara ini sudah diteliti pakar sejak enam hingga lapan bulan lalu," katanya pada sambutan ulang tahun ke-60 Mara di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi, Pengerusi Mara Asyraf Wajdi Dusuki, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Rubiah Wang, serta Ketua Pengarah Mara Zulfikri Osman.
Terdahulu, Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata beliau menetapkan tempoh sehingga akhir tahun ini untuk draf pindaan akta itu dimuktamadkan dan dibentangkan di Parlimen. Beliau menegaskan bahawa pindaan itu akan menjadi perlindungan undang-undang bagi memastikan agenda pemerkasaan Bumiputera kekal terpelihara dan tidak berubah setiap kali berlaku pertukaran kepimpinan negara atau organisasi.
Pengukuhan akta itu juga penting bagi menutup kelompangan serta mengelakkan ketirisan dana, memandangkan Mara kini memikul mandat besar dengan jumlah aset bernilai RM23 bilion. Zahid turut menyatakan hasratnya agar Mara menjadi agensi yang mampu berdikari dan menjana dana sendiri menerusi pelaburan strategik, tanpa bergantung kepada peruntukan kerajaan menjelang usia 100 tahun penubuhannya.
Sementara itu, Asyraf Wajdi berkata Mara kini berada pada peringkat akhir semakan akta itu, dan intipati cadangan pindaan bersama pelan transformasi agensi berkenaan akan dibentangkan Zahid kepada Perdana Menteri dalam masa terdekat.



