Peluang Reformasi Institusi Terbazir: Kegagalan RUU Had Tempoh Jawatan PM
Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri di Dewan Rakyat awal bulan ini tidak boleh dilihat sebagai satu kekalahan teknikal semata-mata. Ia merupakan satu peluang reformasi institusi yang terbazir hanya kerana kekurangan undi. Ya, kekurangan dua undi sahaja.
Dalam sebuah demokrasi yang matang, kegagalan sebegini bukan sekadar angka. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu keutamaan politik, tahap disiplin ahli-ahli Parlimen dan kesediaan untuk melaksanakan reformasi sepertimana yang sering dilaung-laungkan di luar Dewan.
RUU Gagal Bukan Kerana Asas Lemah
RUU ini gagal bukan kerana ketiadaan asas atau atas kelemahan prinsip. Tetapi kerana ketidakhadiran dan sikap berkecuali sebahagian Ahli Parlimen. Ini menimbulkan persoalan yang sukar dielakkan yang menyentuh komitmen terhadap reformasi institusi.
Adakah ia hanya bersifat retorik atau hujah populis sahaja atau ianya benar-benar satu agenda yang ingin dilaksanakan?
Cadangan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada 10 tahun muktamad bukanlah sesuatu yang radikal. Sebaliknya, ia selari dengan amalan demokrasi moden yang memperkenalkan had tempoh bagi ketua kerajaan sebagai satu mekanisme untuk mengelakkan penumpuan kuasa yang berpanjangan.
Amalan Antarabangsa dan Prinsip Asas
Di negara seperti Amerika Syarikat, jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal. Manakala di benua Afrika, negara seperti Afrika Selatan turut mengehadkan tempoh jawatan presiden, dengan had tersebut diperkenalkan sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh institusi dan mencegah penumpuan kuasa.
Di Asia Tenggara pula, Indonesia mengehadkan tempoh jawatan presidennya kepada dua penggal selepas reformasi politik pasca 1998. Walaupun struktur sistem berbeza, prinsip asasnya tetap sama iaitu memastikan kuasa tidak tertumpu terlalu lama pada seorang individu serta menggalakkan peralihan kepimpinan secara teratur.
Prinsipnya mudah, institusi seharusnya lebih penting berbanding individu. Tanpa had tempoh, seorang pemimpin boleh kekal berkuasa terlalu lama sehingga berpotensi membina jaringan pengaruh melangkaui struktur yang formal.
Had Tempoh sebagai Syarat Tambahan
Semasa perbahasan, kebimbangan telah dibangkitkan oleh ahli-ahli Parlimen tentang kemungkinan RUU ini boleh menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dalam melantik perdana menteri.
Ada yang berpandangan bahawa mengehadkan tempoh perkhidmatan perdana menteri menyempitkan budi bicara baginda dalam menentukan siapa yang boleh dilantik sebagai ketua kerajaan. Hujah ini, walaupun penting, perlu dilihat dalam kerangka Perlembagaan yang sedia ada.
Perlembagaan Persekutuan telah menetapkan beberapa syarat kelayakan bagi jawatan perdana menteri. Antaranya mestilah seorang Ahli Dewan Rakyat dan seorang warganegara Malaysia yang tidak memperoleh kewarganegaraan melalui naturalisasi atau pendaftaran.
Kriteria perdana menteri telah termaktub. Had tempoh perkhidmatan, dalam konteks ini, hanyalah satu syarat tambahan tersebut. Dengan kata lain, ia tidak menafikan budi bicara Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya ia beroperasi dalam lingkungan budi bicara yang sama.
Tradisi Westminster Bukan Halangan Reformasi
Perbahasan juga menyentuh keserasian cadangan ini dengan tradisi sistem Westminster yang diamalkan oleh Malaysia. Ada yang berpendapat bahawa had tempoh bercanggah dengan prinsip bahawa perdana menteri boleh terus memegang jawatan selagi mengekalkan sokongan majoriti.
Namun, sistem Westminster tidak pernah bersifat statik. Malaysia sendiri pernah meminda Perlembagaan untuk memperkenalkan undang-undang anti-lompat parti, walaupun dalam tradisi Westminster, sesebuah kerajaan boleh tumbang apabila perdana menteri kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
Di United Kingdom sendiri, dari mana sistem ini berakar umbi, Constitutional Reform Act 2005 telah diperkenalkan yang mana mengubah struktur tradisional sistem Westminster dengan memisahkan fungsi kehakiman daripada Parlimen dan eksekutif.
Evolusi sistem Westminster juga pernah berlaku di negara Komanwel seperti Australia di mana jawatankuasa Parlimen diberi fungsi semak dan imbang terhadap dasar kerajaan yang lebih kukuh melalui penelitian rapi dan pemanggilan saksi.
Antara Reformasi Simbolik dan Perubahan Struktur
Walaupun kita mengakui reformasi institusi memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh, menolak satu langkah reformasi hanya kerana ia tidak menyelesaikan semua masalah sekaligus juga bukan pendekatan yang produktif.
Reformasi institusi lazimnya berlaku secara berperingkat dan berterusan. Setiap perubahan tetap mempunyai nilai. Yang lebih membimbangkan ialah bagaimana RUU ini akhirnya gagal kerana kekurangan hanya dua undi.
Dalam konteks politik Parlimen, kegagalan sebegini jarang bersifat kebetulan. Ia mencerminkan sesuatu yang lebih mendalam iaitu ketidakhadiran, sikap berkecuali atau pengiraan politik jangka pendek yang mengatasi komitmen terhadap reformasi institusi.
Kegagalan ini juga bukan satu kes terpencil. Cadangan reformasi lain seperti undang-undang pendanaan politik, yang telah lama dibincangkan tetapi masih belum direalisasikan, menunjukkan corak yang sama.
Walaupun kepentingannya diakui secara meluas, reformasi yang menyentuh struktur kuasa sering tertangguh. Ini mencerminkan kekurangan kesediaan politik untuk melaksanakan perubahan yang benar-benar bermakna.
Persoalan Sebenar dan Pengajaran Penting
Persoalan sebenar bukan lagi tentang merit cadangan tersebut. Perbahasan telah berlaku dan hujah telah dikemukakan. Sama ada kelas politik negara benar-benar bersedia untuk mengutamakan pembinaan institusi yang lebih kukuh daripada pertimbangan politik semasa, itu persoalan utama.
Jika reformasi institusi benar-benar ingin dijadikan asas kepada kematangan demokrasi negara, maka episod ini seharusnya menjadi pengajaran penting. Reformasi tidak akan berlaku hanya melalui retorik atau manifesto semata-mata.
Ia memerlukan disiplin politik, kehadiran di Dewan dan kesediaan untuk menyokong perubahan apabila saat penentuan tiba. Kegagalan ini mungkin hanya satu episod dalam rekod Parlimen.
Namun, dalam sejarah reformasi institusi negara, ia akan dikenang sebagai satu peluang yang telah dibazirkan.



