PETALING JAYA: Ketua Pemuda PKR Kamil Munim tampil mempertahankan gesaannya menuntut pihak berkuasa menyiasat dakwaan kononnya NGO Mandiri menerima dana asing bagi menggerakkan kegiatan politik yang berpotensi menggugat keselamatan dan kestabilan negara.
Kamil berkata, langkah menyiasat dakwaan itu adalah lebih wajar berbanding sekadar membiarkan ia terus tular dalam talian tanpa sebarang siasatan mahupun tindakan diambil. Menyangkal dakwaan bekas pemimpin Bersih bahawa tindakannya bertentangan dengan prinsip asas penubuhan PKR, Kamil berkata, mereka mungkin terpengaruh dengan pihak tertentu yang sengaja memutarbelitkan kenyataan awalnya.
“Saya tidak pasti adakah mereka benar-benar meneliti secara waras dan adil keseluruhan kenyataan tersebut atau ada pihak tertentu yang mempengaruhi mereka dengan memutarbelitkan kenyataan tersebut dan berselindung di sebalik istilah ‘pertubuhan masyarakat sivil’ bagi mengalih perhatian terhadap dakwaan yang sedang berlegar ini?” soalnya, lapor Bernama.
Kamil berkata, beliau sama sekali tidak pernah mengesyorkan agar pihak berkuasa secara semberono menyerbu NGO yang menerima dana luar. Tegasnya, PKR sentiasa mengiktiraf peranan pertubuhan masyarakat sivil dalam memacu agenda reformasi.
“PKR bermula sebagai sebuah wadah politik yang didukung oleh gerakan massa dan pertubuhan masyarakat sivil yang kekal teguh dengan prinsip perjuangan reformasi,” katanya. “Kita tidak pernah menafikan sumbangan dan jasa pertubuhan masyarakat sivil dalam usaha mengangkat kesedaran dan menyubur kefahaman demokrasi dalam negara seterusnya mendukung agenda reformasi.”
Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa sebarang dakwaan yang menyentuh soal keselamatan dan ketenteraman negara wajar disiasat.
Semalam, Kamil mendesak pihak berkuasa agar menyiasat dakwaan dana asing disalurkan kepada ahli politik, individu dan pertubuhan tertentu bagi menggerakkan kegiatan politik yang berpotensi menggugat keselamatan dan kestabilan negara. Beliau berkata, dana berkenaan dikaitkan dengan pelbagai gerakan politik, termasuk pembiayaan operasi media sosial serta penganjuran protes jalanan yang berniat mencetuskan sentimen antikerajaan bertopengkan agenda demokrasi dan hak asasi manusia.
Desakan ini timbul susulan laporan polis berhubung sebuah video tular yang mendakwa dana asing bernilai lebih RM1.5 juta telah disalurkan oleh sebuah kumpulan berpangkalan di Amerika Syarikat, Tides Foundation, kepada NGO Mandiri.
Sebelum ini, bekas pemimpin Bersih menyifatkan gesaan Kamil itu tidak ubah seperti pendirian pentadbiran kerajaan persekutuan sebelum ini terhadap pertubuhan masyarakat sivil.
Terdahulu dilaporkan Mandiri memaklumkan pihaknya akan menyerahkan surat tuntutan (LOD) kepada Kamil esok bagi menuntut permohonan maaf berhubung kenyataan tersebut. Menurut NGO itu, jika Kamil gagal berbuat demikian dalam tempoh 48 jam, pihaknya akan memfailkan saman RM10 juta.



