Hadi diam isu PN, kata kenyataan Samsuri sudah memadai
Hadi diam isu PN, kata kenyataan Samsuri sudah memadai

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang enggan mengulas perkembangan terkini dalam Perikatan Nasional (PN), termasuk kedudukan PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam gabungan itu.

Menurut laporan Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Marang itu berkata kenyataan terkini Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengenai gabungan itu sudah memadai buat masa ini.

"Kenyataan Samsuri sudah cukup. Saya akan mengeluarkan kenyataan minggu depan," katanya ringkas selepas menyampaikan ceramah agama di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Ahmad Samsuri semalam mengumumkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah digugurkan dari jawatan Timbalan Setiausaha Agung PN. Beliau juga berkata perkhidmatan Datuk Radzi Jidin sebagai Pengarah Pilihan Raya PN telah ditamatkan, dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai pengganti.

Ahmad Samsuri berkata perubahan itu adalah sebahagian daripada penyusunan semula pentadbiran PN menjelang pilihan raya negeri Johor dan Negeri Sembilan, dengan mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi gabungan akan diadakan tidak lama lagi.

Perkembangan ini berlaku selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata partinya akan bertanding di bawah logo PN dalam dua pilihan raya negeri itu dan kekal dalam gabungan.

PAS dan Bersatu masing-masing bertegas untuk kekal dalam PN dan menggunakan logo gabungan itu walaupun berlaku keretakan dalam kerjasama politik antara kedua-dua parti, menimbulkan persoalan mengenai hala tuju gabungan itu menjelang pilihan raya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga