Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mungkin akan mengemukakan usul tuntutan hak 40 peratus hasil Sabah di Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Putrajaya masih belum melaksanakan kadar geran khas baharu menjelang sidang akan datang, menurut Timbalan Setiausaha Agung Armizan Mohd Ali.
Perbincangan dengan Adun penyokong kerajaan
Beliau berkata, perbincangan akan diadakan bersama Adun penyokong kerajaan mengenai langkah tersebut, yang juga mungkin melibatkan pembentangan minit mesyuarat Kabinet dan surat-menyurat rasmi kerajaan negeri pimpinan Warisan sebelum ini, pada tahun 2019.
Armizan menegaskan bahawa dokumen-dokumen berkenaan menunjukkan pentadbiran negeri ketika itu bersetuju dengan semakan semula geran khas di bawah Perkara 112(C) Perlembagaan Persekutuan pada kadar RM53.4 juta sahaja.
Dokumen tersimpan rapi
“Dokumen-dokumen ini tersimpan rapi. Biar kekhilafan tindakan tersebut menjadi rekod yang terpahat dalam hansard DUN untuk tatapan rakyat dan generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.
Beliau mengulas kenyataan Adun Kapayan daripada Warisan, Chin Tek Ming, yang menzahirkan rasa tidak puas hati selepas usul persendiriannya mengenai tuntutan hak 40 peratus itu ditolak pada sidang DUN, baru-baru ini. Chin berkata, penolakan tersebut menunjukkan kurangnya kehendak politik untuk mendapatkan hak Perlembagaan Sabah.
Armizan pula menyatakan, keputusan tersebut dibuat di bawah kuasa speaker dan tidak seharusnya dilihat sebagai kerajaan negeri melepaskan tuntutan berkenaan. Beliau turut menyifatkan usul Chin sebagai bermotifkan politik, sambil menyatakan ia bertujuan untuk menggambarkan Warisan sebagai pejuang utama Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan melabel Adun GRS sebagai penghalang kepada usaha berkenaan.
“Kerajaan negeri sedang bergerak dengan agresif menuntut hak, tidak masuk akal bagi Adun kerajaan diminta menyokong usul peribadi Adun Kapayan yang perjuangan mereka sekadar tegar mengelirukan rakyat,” katanya.
Percanggahan pendirian Warisan
Dalam pada itu, Armizan menarik perhatian kepada apa yang dipanggilnya sebagai percanggahan dalam pendirian Warisan, dengan mengambil kira kenyataan parti itu semasa sidang DUN pada Ogos 2019, bahawa adalah tidak wajar membawa tuntutan 40 peratus terhadap kerajaan persekutuan ke mahkamah.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Papar itu telah mengemukakan surat tahun 2019 daripada Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan Sabah kepada Kementerian Kewangan persekutuan, yang mengesahkan persetujuan Kabinet Warisan terhadap kadar RM53.4 juta.
Bekas ketua menteri Shafie Apdal mengakui keputusan tersebut, namun mempertahankannya dengan menyatakan pentadbirannya perlu beroperasi dalam kekangan fiskal persekutuan ketika itu. Warisan pula berhujah bahawa penerimaan tersebut merupakan pengaturan interim yang dibuat secara jelas tanpa menjejaskan tuntutan hak 40 peratus Sabah mengikut Perlembagaan, dan tiada persetujuan muktamad dicapai dengan Putrajaya pada 2019.
Keyakinan terhadap kerajaan persekutuan
Bagaimanapun, Armizan menyatakan keyakinan kerajaan persekutuan sekarang akan mempertimbangkan permintaan Sabah dengan serius. Beliau berkata, negeri itu menyasarkan peningkatan geran khas daripada RM600 juta kepada sekurang-kurangnya RM3 bilion setahun sebagai langkah awal, untuk dilaksanakan serta-merta dan bukannya secara berperingkat.
Katanya, kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim telah mengambil ‘pendirian yang tidak pernah dibuat kerajaan persekutuan sebelum ini’ dengan mengiktiraf hak tuntutan 40 peratus Sabah di Parlimen, pada 12 November 2025. “Malah, pernah dijawap di Parlimen oleh pentadbiran lalu bahawa hak 40 peratus itu sudah terhenti berkuat kuasa,” katanya.



