KUALA LUMPUR, 16 Julai — Persiapan kerajaan menghadapi fenomena El Nino, punca letupan bom tangan dalam latihan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan penyebaran ajaran sesat antara tumpuan sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Persiapan Hadapi El Nino
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, pada Waktu Pertanyaan Menteri, Bakti Jamaluddin (BN-Tangga Batu) akan bertanyakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengenai persiapan kerajaan menghadapi fenomena El Nino yang dijangka menjejaskan sektor pertanian dan keselamatan makanan negara.
Beliau juga mahu mengetahui langkah menangani bekalan air pengairan, pengeluaran padi dan tanaman makanan, keperluan ternakan, serta usaha memastikan bekalan makanan negara mencukupi.
Letupan Bom Tangan ATM
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) akan bertanya kepada Menteri Pertahanan mengenai punca letupan bom tangan dalam latihan ATM baru-baru ini dan langkah segera kementerian untuk memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) keselamatan latihan bagi mengelak kejadian berulang.
Reformasi Pentadbiran DBKL
Tan Kok Wai (PH-Cheras) akan bertanya Perdana Menteri mengenai reformasi tadbir urus dan pentadbiran yang akan dilaksanakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190), termasuk reformasi melibatkan pentadbiran, tadbir urus, integriti, dan penyampaian perkhidmatan.
Ajaran Sesat dan Penyakit Tidak Berjangkit
Pada Waktu Pertanyaan, Sabri Aziz (PN-Jerai) akan bertanya mengenai cabaran kerajaan menangani penyebaran ajaran sesat di Malaysia dan langkah intervensi untuk mengukuhkan akidah mereka yang terpesong.
Penyakit tidak berjangkit pula akan diberi perhatian apabila Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) bertanya Menteri Kesihatan mengenai statistik terkini keadaan antara 2024 dan 2026, khususnya peningkatan diabetes dan hipertensi dalam kalangan mereka berusia bawah 30 tahun.
Beliau juga akan mendapatkan butiran mengenai keberkesanan Kempen Perang Gula dan pelaksanaan cukai gula dalam mengurangkan kadar obesiti negara.
Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara
Selain itu, sidang hari ini juga akan menyaksikan pembentangan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan.
Persidangan Kedua Penggal Kelima Parlimen Ke-15 yang berlangsung selama 16 hari dijadualkan berakhir hari ini. — Bernama



