DAP arah jentera bersedia hadapi PRN mengejut di tiga negeri
DAP arah jentera sedia hadapi PRN mengejut tiga negeri

PETALING JAYA: DAP mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang berlangsung malam tadi di ibu pejabat parti. Menurutnya, mesyuarat tersebut turut membincangkan perkembangan terkini krisis politik di Negeri Sembilan.

Pada masa sama, DAP menegaskan pendirian untuk terus menyokong kepimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, serta menolak sebarang cadangan pertukaran jawatan berkenaan ketika ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“DAP akan terus mendokong dan memberi sokongan penuh kepada Aminuddin Harun sebagai menteri besar Negeri Sembilan. DAP tidak akan bersetuju dengan apa-apa cadangan pertukaran menteri besar pada ketika ini selepas cubaan menjatuhkan kerajaan perpaduan sedia ada gagal,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Umno Negeri Sembilan menarik balik sokongan terhadap Aminuddin atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau di tengah-tengah krisis berterusan melibatkan empat pembesar yang mahu menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Pakatan Harapan (PH) sebelum itu menyifatkan tindakan menarik balik sokongan tersebut sebagai satu percubaan untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri. Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata gabungan itu kesal dengan insiden tersebut dan menolak sekeras-kerasnya ‘tindakan khianat’ sedemikian.

Dalam pada itu, Loke berkata DAP sentiasa menghormati institusi Raja Berperlembagaan serta segala adat dan peruntukan undang-undang negeri. “DAP menjunjung kasih ke bawah Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, di atas titah Tuanku supaya kerajaan negeri terus berfungsi seperti biasa di bawah pentadbiran Aminuddin,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga