Barisan Nasional (BN) berdepan laluan sukar untuk mempertahankan 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut diadakan dalam masa terdekat tanpa kerjasama Pakatan Harapan (PH), menurut seorang penganalisis.
Kajian Ilham Centre
Ketua Penyelidik Ilham Centre, Yusri Ibrahim, berkata dapatan kajian lapangan pada PRN Ogos 2023 menunjukkan kemenangan BN ketika itu banyak dibantu oleh kesediaan pengundi teras PH untuk memindahkan undi kepada calon BN. Namun, pola yang sama tidak berlaku secara optimum dalam kalangan pengundi BN terhadap calon PH.
“Dengan kata lain, ‘vote transferability’ PH kepada BN berlaku dengan baik, namun sebaliknya untuk undi BN kepada PH,” katanya di Facebook.
Kerusi marginal
Yusri berkata sokongan pengundi PH banyak membantu BN menang di beberapa kerusi seperti Sungai Lui, Palong, Jeram Padang, Lenggeng, Juaseh, Seri Menanti, Senaling, dan Kota. Kerusi-kerusi tersebut dimenangi BN dengan majoriti kecil, sama ada beberapa puluh atau beberapa ratus undi.
“Berdasarkan simulasi dapatan pada masa itu, tanpa sokongan pengundi teras PH, agak sukar untuk Umno/BN memenangi kerusi-kerusi tersebut,” katanya.
Keputusan PRN 2023
Pada PRN 2023, gabungan PH-BN memenangi 31 daripada 36 kerusi DUN Negeri Sembilan, dengan PH memperoleh 17 kerusi, BN 14, dan Perikatan Nasional lima.
Yusri berkata belum ada kajian lapangan terbaru untuk menentukan sama ada BN Negeri Sembilan kini lebih kuat berbanding Ogos 2023. Bagaimanapun, analisis sentimen susulan krisis politik terbaru menunjukkan persepsi awam ‘agak kurang memihak’ kepada BN Negeri Sembilan.
“Tidak mudah juga untuk Umno/BN jika berlaku PRN dalam masa terdekat,” katanya.
Krisis politik
Negeri Sembilan dilanda krisis politik selepas 14 Adun BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, mencetuskan persoalan berhubung kedudukan majoriti kerajaan negeri. Awal hari ini, DAP mengarahkan seluruh jentera parti bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRN mengejut di Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor sekiranya DUN masing-masing dibubarkan dalam masa terdekat.



