KUALA LUMPUR, 19 Mei — Barisan Nasional (BN) akan terus memelihara persefahaman dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat mandat pentadbiran bagi memastikan kestabilan negara dan kebajikan rakyat, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir.
Kenyataan Zambry
Beliau berkata BN berpandangan bahawa persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah tanggungjawab negara untuk mengelakkan Malaysia daripada terjerumus ke dalam polemik politik yang berpanjangan.
“Persefahaman itu dipersetujui sehingga tamat mandat. Oleh itu, tidak timbul soal Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Perkembangan di Johor
Mengenai perkembangan di Johor, Zambry berkata BN menghormati pendirian yang disuarakan oleh BN negeri berhubung hala tuju dan persiapan menghadapi pilihan raya negeri yang akan datang.
Beliau berkata pendirian itu selaras dengan pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor.
Pada Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan bahawa gabungan itu akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). — Bernama



