SEPANG: Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang berada di 15 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 antara yang ditahan selepas puluhan kapal bantuan kemanusiaan dilaporkan dipintas tentera laut Israel ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby berkata sebanyak 40 kapal flotila yang melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan dipintas dan diceroboh setakat 3 petang tadi. Beliau berkata SNCC masih belum menerima pengesahan tentang status serta lokasi semua aktivis yang ditahan, termasuk sama ada mereka masih berada di laut atau dibawa ke pelabuhan Ashdod.
Pengambilan Paksa Aktivis
“SNCC menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim. “Sehingga kini, SNCC masih belum menerima pengesahan mengenai status semua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pintasan berlaku,” katanya dalam sidang media.
Sani berkata SNCC sedang memantau rapat dua kemungkinan lokasi pemindahan aktivis flotila bantuan kemanusiaan yang ditahan pihak rejim Israel, sama ada menuju ke Greece atau pelabuhan Ashdod.
Senarai Kapal dan Aktivis
Kapal yang dipintas dan ditahan termasuklah Cactus, Marilyn, Jandabar, Holy Blue, Sadabad, Zio Faster, Blue Toys, Kyriakos, Josef, Barbaros, Tenaz, Ozgurluk, Isobella, Amanda, Umut, Furleto, Boralize, Vincovolo, Amazon, Bianca ITA, Abodes, Gotico, Bye Luby, Themis, La Cirena, Last Dream, Adalah, Rim, Peluxo, Iridescence, Belella, Atlantic Blue, Venus, Isias, Azur, Nablus, Diabolo, L’Arq, Perseverance dan Munki.
Rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu ialah Razman Mat Ali yang menaiki kapal Azur, Nor Liyana Farhan Daud (Amazon), Al Ahmad Shah Abdul Kadir (Iridescence) serta Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin (Marilyn). Turut ditahan kapal Bolarize yang membawa Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Redzal Amzah, serta kapal Ozgurluk yang dinaiki Jihan Alya Mohd Nordin dan Norhelmi Ab Ghani.
Semalam, 16 rakyat Malaysia ditahan antaranya Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) serta Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus). Turut ditahan S Patmanathan, Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin (Ferluto), Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (Bianca ITA), Farizzal Rostam dan Zaid Abdul Karim (Gotico) serta Norazman Ishak (Abodes). Selain itu, turut ditahan ialah Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli (Themis) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).



