Timbalan Ketua Menteri Sabah gesa ADUN terangkan kepentingan Lebuhraya Pan Borneo
KOTA KINABALU, 27 April — Timbalan Ketua Menteri Sabah I, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, menggesa semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) supaya mengadakan sesi libat urus dengan penduduk bagi menjelaskan kepentingan Projek Lebuhraya Pan Borneo, termasuk isu berkaitan pampasan.
Dr Joachim yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti negeri berkata, terdapat kes di mana penduduk yang menerima notis pengosongan belum lagi menerima pampasan, sebahagiannya disebabkan dokumentasi tidak lengkap atau perselisihan mengenai jumlah yang ditawarkan.
"Saya bersetuju dengan anda. Tetapi kita juga harus mengakui bahawa projek Pan Borneo adalah pemangkin perubahan untuk Sabah, sangat penting, dan sedikit pengorbanan diperlukan."
"Jadi, saya mahu semua ADUN, apabila berhadapan dengan situasi sebegini, berbincang dengan penduduk tentang kepentingan lebuh raya ini," katanya menjawab soalan tambahan daripada Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal (Warisan-Silam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.
Mohammad Yusof sebelum itu membangkitkan kebimbangan mengenai tindakan perobohan yang melibatkan penduduk yang didakwa belum menerima pampasan, termasuk mereka yang memiliki rumah bertanah dan di kampung yang telah diwartakan.
Dr Joachim menegaskan bahawa Lebuhraya Pan Borneo adalah inisiatif utama yang berpotensi memacu pembangunan negeri, justeru memerlukan sokongan menyeluruh.
Bagi pakej projek di kawasan Silam, beliau berkata pelaksanaan masih di peringkat awal, dengan kemajuan fizikal di bawah 30 peratus, membolehkan ruang untuk libat urus lanjut dalam kalangan pihak berkepentingan.
Beliau menambah bahawa pembayaran pampasan untuk projek Lebuhraya Pan Borneo di Silam dan kawasan parlimen Lahad Datu dijalankan secara berperingkat, bergantung kepada jenis tanah dan pematuhan prosedur yang ditetapkan.
"Bagi tanah yang mempunyai hak milik sah, dikenal pasti dan diwartakan, proses mengeluarkan tawaran pampasan kepada pemilik terjejas sedang dijalankan mengikut Ordinan Pemerolehan Tanah Sabah."
"Pembayaran akan dibuat oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah sebaik sahaja semua dokumen persetujuan diterima, dan pembayaran akan dilakukan secara berperingkat," katanya.
Dr Joachim juga menjelaskan bahawa tiada pampasan diberikan untuk struktur yang terletak di dalam rezab jalan, selaras dengan dasar dan arahan agensi pelaksana.
Walau bagaimanapun, katanya, bayaran ex gratia mungkin dipertimbangkan untuk struktur yang terletak di dalam rezab lain, seperti rezab sungai atau utiliti, tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa berkaitan.
"Bayaran sedemikian boleh dipertimbangkan berdasarkan garis panduan semasa dan penilaian oleh Jabatan Tanah dan Ukur Sabah," katanya.
Beliau menambah bahawa kementerian telah mengesahkan bahawa peruntukan untuk pembayaran pampasan kepada pemilik yang layak telah dijamin dan akan disalurkan kepada Jabatan Tanah dan Ukur Sabah bagi memastikan pembayaran dilaksanakan secara teratur, telus dan mengikut prosedur. — Bernama



