PKR Melaka gesa bincang isu ADUN dilantik secara konsensus
PKR Melaka gesa bincang isu ADUN dilantik secara konsensus

Parti Keadilan Rakyat (PKR) Melaka menggesa semua pihak supaya tidak membuat keputusan tergesa-gesa yang boleh menjejaskan kestabilan pentadbiran, kebajikan rakyat dan pembangunan negeri. Isu berkaitan Enakmen Perlembagaan Negeri (Melaka) (Pindaan) 2026 mengenai pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dilantik hendaklah diselesaikan secara konsensus dan perundingan demi memastikan kestabilan pentadbiran negeri berterusan.

Kenyataan Pengerusi MPN PKR Melaka

Pemangku Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Melaka, Adam Adli Abdul Halim, berkata pihaknya mengambil maklum pendirian lima ADUN Pakatan Harapan (PH) berhubung enakmen tersebut serta keputusan mereka untuk menarik diri daripada kerajaan negeri. Adam Adli, yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, menegaskan bahawa PKR Melaka terus berpegang pada prinsip bahawa kestabilan politik dan pentadbiran adalah penting untuk menjamin kemajuan negeri, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Pada masa yang sama, cadangan pelantikan ADUN yang dilantik perlu dinilai dengan teliti berdasarkan prinsip akauntabiliti, integriti dan semangat demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Pendirian Anwar Ibrahim

Adam Adli berkata PKR Melaka juga menyokong pendirian Perdana Menteri dan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa sebarang perbezaan pendapat perlu diselesaikan melalui semangat konsensus, rundingan berhemah dan mengutamakan kepentingan rakyat. Beliau berkata, walaupun parti menghormati pendirian yang dinyatakan oleh lima ADUN PH, keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan negeri bukanlah keputusan bersama di peringkat kepimpinan PH Melaka.

“Ruang perbincangan mesti kekal terbuka supaya setiap keputusan dapat dicapai secara matang, bertanggungjawab dan demi kepentingan rakyat Melaka,” katanya.

Latar Belakang Isu

Anwar sebelum ini dilaporkan meminta DAP Melaka menangguhkan keputusan untuk menarik diri daripada pentadbiran kerajaan negeri bagi memberi tumpuan kepada pembangunan dan kebajikan rakyat. Ini berikutan pengumuman DAP Melaka hari ini bahawa ia menarik diri daripada kerajaan negeri dengan serta-merta selepas Dewan Undangan Negeri Melaka meluluskan pindaan kepada Perlembagaan Negeri bagi membolehkan pelantikan ADUN yang dilantik. – Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga