Pembesar N Sembilan bermesyuarat bincang krisis negeri
Pembesar N Sembilan bermesyuarat bincang krisis negeri

SEREMBAN: Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar mengadakan pertemuan di Balai Undang Luak Sungei Ujong petang ini dipercayai bagi membincangkan krisis Negeri Sembilan ketika ini.

Undang terbabit Mubarak Dohak (Sungei Ujong), Maarof Mat Rashad (Jelebu), Muhammad Abdullah (Johol), Abdul Rahim Yasin (Rembau), Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al Qadri dan Datuk Syahbandar Sungei Ujong Baharudin Abdul Khalid.

Pertemuan berlangsung sekitar 3.30 petang dan berakhir 6 petang apabila semua kenderaan yang membawa pembesar terbabit keluar dari balai berkenaan. Muhammad ketika ditemui media memaklumkan ia hanya pertemuan biasa sekadar ‘perbincangan anak beranak’.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Bincang anak beranak saja,” katanya sebelum meninggalkan Balai Undang Luak Sungei Ujong.

Isnin lalu, Menteri Besar Aminuddin Harun berkata kerajaan negeri tidak mengiktiraf usaha menyingkirkan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar. Terdahulu, Mubarak yang didakwa sudah dipecat mengumumkan hasrat Undang tersebut dalam satu sidang media bersama tiga lagi ketua adat pada Ahad.

Di Negeri Sembilan, Undang Yang Empat adalah pemerintah bagi luak (daerah) beradat utama – Sungei Ujong, Jelebu, Johol dan Rembau. Mereka adalah ketua wilayah tradisional yang memainkan peranan penting dalam memilih Yang di-Pertuan Besar serta memberi nasihat mengenai hukum adat bawah sistem Adat Perpatih negeri itu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga