Serangan ke atas restoran nasi kandar di Johor Bahru
Polis sedang memburu dua lelaki bertopeng yang dipercayai menyimbah minyak dan cat merah sebelum membakar sebuah restoran nasi kandar di Bandar Dato' Onn, Johor Bahru, awal pagi tadi. Kejadian berlaku sehari sebelum premis itu dijadualkan mengadakan pembukaan rasmi esok.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat, berkata polis menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 3.59 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang mengendalikan restoran tersebut. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) restoran, dua suspek tiba kira-kira pukul 3.34 pagi sebelum melakukan perbuatan itu.
“Kejadian itu mengakibatkan kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000 dan punca kejadian masih belum diketahui,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2182323.
Usaha pemadaman
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.43 pagi dan menghantar anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau serta Balai Bomba dan Penyelamat Kempas ke tempat kejadian. Namun, kebakaran berjaya dipadamkan sebelum ketibaan pasukan bomba menggunakan lapan alat pemadam api, dan tiada kecederaan dilaporkan.
Restoran itu sebelum ini mengumumkan pembukaan rasmi esok dan menawarkan makanan percuma kepada pengunjung sempena acara tersebut. — Bernama



