Chong Zhemin: Sokongan Komuniti Tidak Bukti PH Guna Politik Perkauman
Chong Zhemin: Sokongan Komuniti Bukan Bukti PH Politik Perkauman

PETALING JAYA: Sokongan kuat daripada sesuatu komuniti tidak membuktikan Pakatan Harapan (PH) menggunakan politik perkauman untuk meraih undi, kata Ahli Parlimen Kampar Chong Zhemin.

Wakil rakyat DAP itu menolak pandangan bekas Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming bahawa PH turut mendapat manfaat secara tidak langsung daripada politik identiti.

“Mengatakan PH mendapat manfaat daripada politik perkauman ibarat mengatakan kebotakan itu satu gaya rambut. Ia mencampuradukkan hasil politik dengan strategi politik yang disengajakan,” katanya dalam kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Perbandingan Tidak Tepat Antara Kempen PH dan BN-PN

Ong yang juga dari DAP pada program audiosiar Keluar Sekejap dipetik berkata PH juga pernah mendapat manfaat daripada naratif kaum dalam pilihan raya sebelum ini dan tidak wajar menyalahkan politik identiti pihak lawan semata-mata atas kekalahannya dalam PRN Negeri Sembilan.

Menurutnya, PH sebelum ini turut menyeru pengundi bukan Melayu supaya bersatu, sama seperti seruan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang menggesa orang Melayu memberi sokongan kepada mereka.

Chong mendakwa Ong mewujudkan perbandingan tidak tepat antara kempen berteraskan rakyat Malaysia yang dibawa PH dengan mobilisasi berasaskan kaum secara terbuka oleh BN dan PN.

PH Tidak Pernah Seru Satu Kaum Menentang Kaum Lain

Katanya, PH tidak pernah menyeru satu kaum bersatu menentang kaum lain atau menggambarkan mana-mana komuniti sebagai ancaman.

“Kami tidak pernah memberitahu pengundi Cina bahawa kepentingan mereka hanya boleh dilindungi dengan mengalahkan orang Melayu dan kami juga tidak pernah memberitahu pengundi India bahawa mana-mana kaum lain ancaman kepada mereka.

“Mesej utama PH selama ini ialah rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum atau agama, mesti bersatu mempertahankan tadbir urus yang baik, kesederhanaan, keadilan ekonomi dan institusi demokrasi,” katanya.

Sokongan Komuniti Tidak Automatik Jadikan Kempen Perkauman

Beliau menegaskan sokongan kuat daripada sesuatu komuniti tidak secara automatik menjadikan kempen sesebuah parti bersifat perkauman.

“Perkara yang penting ialah bagaimana sokongan itu diperoleh dan mesej yang digunakan untuk menggerakkan pengundi.

“Sebaliknya, BN-PN berulang kali menggunakan DAP sebagai sasaran, ancaman dan bahan belasahan politik untuk menakutkan pengundi Melayu.

“DAP dipersalahkan dalam pelbagai isu, manakala pengundi Melayu digesa menyatukan kuasa politik mereka bagi melindungi hak dan kepentingan daripada musuh yang dibayangkan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga