Apa Lagi Hadi Akan Kata Dari Rusila Selepas Krisis PN?
Apa Lagi Hadi Akan Kata Dari Rusila?

Presiden PAS, Hadi Awang, sejak bertahun lamanya mengadakan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang, Terengganu, setiap Jumaat. Di situlah, pada kesempatan sama, media lazimnya mendapatkan pandangan beliau apabila timbul isu berbangkit, khususnya membabitkan PAS, politik Melayu-Islam dan hala tuju pakatan politik yang disertai parti itu. Salah satu peristiwa penting berlaku pada 22 Mei lalu, apabila Hadi menyatakan PAS sedang menilai semula kerjasama dengan Bersatu. Isyarat itu cukup besar kepada Perikatan Nasional (PN).

Isyarat Amaran Awal

“Kita sabar, kita tidak kecewa tetapi sabar ada batas,” kata Hadi. Dalam politik, kenyataan seperti itu jarang sekadar ungkapan biasa, sebaliknya merupakan amaran awal. Dalam konteks PAS, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada presidennya sendiri, ia boleh dibaca sebagai isyarat kepada akar umbi bahawa hubungan dengan Bersatu tidak lagi boleh dianggap seperti biasa. Benar, Hadi bukan ahli Majlis Tertinggi PN. Namun, realiti politik gabungan itu hari ini menunjukkan kata-katanya sentiasa mempunyai berat tersendiri. Bagi sesetengah pemimpin Bersatu, pengaruh itu mungkin dilihat sudah melangkaui struktur rasmi gabungan, seolah-olah Hadi mempunyai kuasa veto terhadap hala tuju PN. Di sinilah punca kejanggalan bermula.

Putus Hubungan Politik

Pada 8 Jun, hubungan politik PAS dan Bersatu terputus. Selepas itu, PN bergerak dalam keadaan aneh: PAS masih berada dalam PN, Bersatu juga masih berada dalam PN, tetapi kerjasama antara dua parti terbesar dalam gabungan itu tidak lagi seperti dahulu. Lalu, apakah sebenarnya PN sekarang? Adakah ia sebuah gabungan yang masih lengkap di atas kertas, tetapi retak di lapangan? Atau sebuah rumah politik yang penghuninya masih berkongsi bumbung, tetapi tidak lagi makan semeja?

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kemasukan Wawasan Menambah Lapisan Baru

Keputusan terbaru Majlis Tertinggi PN menambah satu lagi lapisan kepada persoalan itu. Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin Hamzah Zainudin diterima sebagai anggota baharu PN. Sebelum penjenamaan semula, ia dikenali sebagai Parti Cinta Malaysia (PCM). Pada masa sama, keahlian Bersatu tidak dibincangkan. Dari satu sudut, ia mungkin langkah meredakan ketegangan. PN tidak mahu dilihat menghalau Bersatu. PN juga tidak mahu menutup pintu kepada Hamzah dan kumpulannya yang sudah membina rumah baharu selepas episod pemecatan dalam Bersatu. Namun, dari sudut lain, keputusan itu hanya menangguhkan masalah lebih besar.

Hamzah bukan tokoh kecil. Beliau bekas timbalan presiden Bersatu dan mempunyai jaringan politik sendiri. Apabila Wawasan dilancarkan, Hadi hadir. Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar, juga hadir. Tidak lama selepas itu, Hamzah dikembalikan sebagai ketua pembangkang, jawatan yang dilepaskannya selepas dipecat Bersatu pada Februari lalu dan digantikan oleh Samsuri. Semua ini memberi gambaran jelas bahawa dalam krisis Bersatu, PAS bukan sekadar pemerhati. PAS kelihatan selesa membuka ruang kepada Hamzah, malah mungkin melihat Wawasan sebagai komponen baharu yang boleh mengisi kekosongan jika hubungan dengan Bersatu terus memburuk.

Bersatu Dalam Dilema

Bersatu pula, walaupun masih parti anggota PN, kini terpaksa menerima hakikat bahawa musuh politik dalaman mereka sudah mendapat tempat di meja sama. Di atas kertas, ini mungkin dinamakan perluasan gabungan. Di lapangan, ia boleh dilihat sebagai perkahwinan politik yang terlalu sarat dengan sejarah luka. Persoalan paling praktikal ialah bagaimana PN mahu menghadapi pilihan raya dalam keadaan begini. Bagaimana jentera PAS mahu turun ke kampung dan markas untuk merayu undi memenangkan calon Bersatu, sedangkan hubungan politik rasmi dengan parti itu sudah terputus? Bagaimana pula penyokong Bersatu mahu menerima arahan bersama jika mereka melihat PAS lebih mesra dengan Wawasan, parti yang dipimpin tokoh yang baru sahaja dipecat daripada Bersatu?

Benar, jawapan rasmi mudah: semuanya atas platform PN. Logo PN boleh digunakan. Rundingan kerusi boleh dibuat. Manifesto boleh diselaraskan. Tetapi, politik pilihan raya tidak bergerak hanya dengan logo. Ia bergerak dengan emosi akar umbi, disiplin jentera dan keyakinan bahawa calon yang disokong benar-benar mewakili perjuangan bersama. Di situlah PN berdepan ujian paling sukar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Kesan Di Negeri-Negeri

Di Johor, kesannya mungkin tidak terlalu besar. Negeri itu bukan kubu kuat PN, walaupun Bersatu pernah memegang jawatan menteri besar selepas PRU14 ketika bersama Pakatan Harapan. Pilihan raya negeri itu juga mungkin lebih banyak menyaksikan pertembungan utama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan, seperti diramalkan sesetengah penganalisis. Namun, masalah PN tidak boleh diukur hanya dengan Johor. Cabaran sebenar mungkin muncul di negeri seperti Selangor, di mana kekuatan wakil rakyat PAS dan Bersatu hampir setara. Di negeri sebegini, setiap kerusi, setiap jentera dan setiap gerakan akar umbi membawa makna besar. Jika PAS dan Bersatu tidak lagi saling percaya, siapa yang akan berkorban kerusi? Siapa yang akan menerima calon pihak lain? Siapa yang akan turun berkempen dengan sepenuh hati?

Tolak tepi Terengganu, Kedah dan Kelantan yang dikuasai sepenuhnya oleh PAS. Di negeri itu, PAS boleh berdiri dengan keyakinan sendiri. Tetapi PN sebagai projek nasional memerlukan lebih daripada kubu tradisi PAS. Ia memerlukan gabungan yang kelihatan stabil, meyakinkan dan mampu mentadbir. Di sinilah naratif ‘kerajaan menunggu’ PN mula diuji. Sebuah gabungan pembangkang boleh menuduh kerajaan pusat lemah, gagal atau tidak stabil. Tetapi tuduhan itu hanya berkesan jika pembangkang sendiri kelihatan lebih tersusun. Jika PN masih berantakan, PAS dan Bersatu masih bergerak dalam dua bahasa politik berbeza, jika Wawasan diterima tetapi Bersatu dibiarkan tergantung dalam tanda tanya, maka sukar untuk PN meyakinkan pengundi bahawa ia bersedia mengambil alih Putrajaya pada PRU16. Mungkin sebab itu tumpuan sekali lagi akan kembali kepada Rusila. Apa Hadi akan kata selepas ini?