Rekod negeri PAS bukti bukan Melayu tak dipinggir, kata pemimpin Umno
Rekod PAS bukti bukan Melayu tak dipinggir: Pemimpin Umno

Jelebu: Seorang pemimpin Umno mempertahankan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) terutama dengan PAS, sambil menyifatkan dakwaan ia akan menjejaskan kedudukan masyarakat bukan Melayu sebagai naratif lapuk. Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata pengalaman di Kelantan, Terengganu dan Kedah yang ditadbir PAS menunjukkan masyarakat bukan Melayu di negeri berkenaan tidak dipinggirkan.

Naratif lama untuk timbulkan kebimbangan

“Ini hanya naratif lama dimainkan untuk menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat bukan Melayu. Kerjasama BN dan PN bukan berasaskan perkara yang boleh memecahbelahkan rakyat,” katanya dalam temu bual FMT sambil memberi jaminan masyarakat bukan Melayu tidak perlu bimbang jika BN-PN berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, orang bukan Melayu juga tidak perlu risau kerana BN akan kekal sebagai parti dominan memandangkannya bertanding di lebih banyak kerusi iaitu 25 Dewan Undangan Negeri (DUN) berbanding 11 oleh PN. Katanya, kaum bukan Melayu tidak perlu bimbang kerana jika BN-PN berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan diterajui oleh BN.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

BN kekal dominan dalam kerajaan

“BN tetap menjadi parti dominan dalam kerajaan dan olahan serta adunan daripada BN dan PN ini nanti akan mampu memberikan kebajikan serta perhatian kepada semua kaum,” katanya. Mengulas lanjut, Jalaluddin yang akan mempertahankan DUN Pertang berkata kerjasama BN-PN di Negeri Sembilan dibentuk atas dasar persefahaman politik serta keikhlasan kedua-dua pihak.

“Persefahaman ini bukan hanya untuk Negeri Sembilan. Ia boleh diperluaskan ke peringkat lebih tinggi sekiranya mendapat sokongan dan penerimaan rakyat,” katanya.

BN tak rancang kembali bersama PH

Dalam pada itu, Jalaluddin berkata BN tidak merancang untuk kembali bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi membentuk kerajaan Negeri Sembilan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN). “Kita yakin dengan kemampuan BN dan PN untuk membentuk kerajaan. Kita tidak ada rancangan untuk kembali bersama PH bagi membentuk kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas dakwaan Pengerusi PH Negeri Sembilan Aminuddin Harun bahawa Umno tidak mengenang budi selepas menarik sokongan terhadapnya, Jalaluddin berkata BN penyumbang terbesar kepada pembentukan kerajaan negeri selepas PRN 2023. Beliau berkata, BN memenangi 14 kerusi, berbanding DAP dengan 11 dan PKR lima, manakala PN turut memperoleh lima kerusi.

Siapa sumbangan terbesar?

“Siapa yang memberikan sumbangan besar kepada PH untuk menubuhkan kerajaan pada 2023 kalau bukan Umno dan BN? BN membantu PH membentuk kerajaan negeri. Itu fakta tidak boleh dinafikan,” katanya sambil menekankan dalam politik parti perlu melihat perkembangan semasa dan usaha terbaik untuk rakyat.

Sasar majoriti dua pertiga

Jalaluddin berkata, BN-PN menyasarkan untuk memenangi majoriti dua pertiga kerusi pada PRN Negeri Sembilan berdasarkan maklum balas positif diterima sepanjang kempen. Beliau berkata, sokongan bukan sahaja datang daripada penyokong tradisi BN, malah turut membabitkan pengundi muda serta masyarakat Cina dan India.

“Gelombang biru semakin nampak. Saya bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan maklum balas yang diterima sangat menggalakkan. Kita meletakkan sasaran tinggi untuk melepasi majoriti dua pertiga. Kalau momentum ini dapat dikekalkan sehingga saat akhir, kita mampu mencipta keputusan baik dan luar biasa,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga