IPOH, 15 Mei — Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, telah memperkenankan seramai 625 orang pendidik dan guru di negeri ini untuk menyampaikan khutbah Jumaat hari ini sempena Hari Guru yang disambut setiap tahun pada 16 Mei.
Perkenan Diraja Hargai Guru
Presiden Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini, menyatakan titah diraja itu bertujuan menghargai dan mengiktiraf peranan serta sumbangan penting para pendidik dan guru kepada rakyat dan negara.
“Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, menitahkan bahawa khutbah Jumaat di Perak pada 15 Mei 2026 hendaklah bertemakan guru, sempena Hari Guru pada 16 Mei 2026.
“Duli Yang Maha Mulia telah memperkenankan para pendidik dan guru diberi penghormatan untuk menjadi khatib jemputan menyampaikan khutbah bertajuk ‘Guru Berhikmah Membina Insan Sejahtera’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Guru Besar dan Pegawai Terlibat
Mohd Annuar berkata, susulan perkenan diraja itu, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad akan mengetuai para pendidik dan guru menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Negeri (Masjid Sultan Idris Shah II).
“Selain itu, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan, Omar Salleh akan menyampaikan khutbah di Masjid Sultan Azlan Shah, Ipoh, manakala Samad Hassan, guru agama dari SMK Bukit Merchu, akan menyampaikan khutbah di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar,” katanya.
Program Semarak Masjid
Mohd Annuar menambah, sempena sambutan itu, Jabatan Pendidikan akan menganjurkan program memakmurkan masjid di Masjid Negeri yang melibatkan 2,000 pelajar dan warga pendidikan.
“Program motivasi kerohanian pelajar akan bermula pada pukul 10.20 pagi dan diikuti dengan bacaan Surah Yasin, tahlil dan doa selamat.
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak juga akan berkenan menunaikan solat Jumaat bersama-sama pelajar dan warga pendidikan di Masjid Sultan Idris Shah II,” katanya. — Bernama



