PUTRAJAYA, 7 Mei — MyKad baharu yang dijangka diperkenalkan bulan depan akan menampilkan 53 elemen keselamatan berbanding 23 pada versi semasa.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara
Datuk Badrul Hisham Alias berkata ciri keselamatan yang dinaik taraf termasuk ukiran laser, elemen ultralembayung (UV), hologram, corak guilloche, mikroteks, kod QR untuk tujuan penguatkuasaan, dan cip dengan teknologi enkripsi yang dipertingkatkan.
“Ia sememangnya mempunyai ciri keselamatan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang.
“Pelancaran akan diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri apabila tiba masanya, dan di peringkat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), kami sudah bersedia untuk tujuan itu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pengurusan JPN bersama Media hari ini.
Komitmen Kerajaan
Badrul Hisham berkata pengenalan MyKad baharu mencerminkan komitmen kerajaan untuk memperkukuh keselamatan identiti selaras dengan kemajuan teknologi dan cabaran keselamatan yang semakin berkembang.
Beliau menambah bahawa versi terkini MyPoCA dan MyTentera juga akan diperkenalkan bulan depan.
Pada masa sama, beliau menjelaskan bahawa MyKad baharu tidak akan merangkumi fungsi Touch ‘n Go.
Hubungan Media
Sementara itu, Badrul Hisham berkata sesi penglibatan media dianjurkan untuk mengeratkan hubungan antara JPN dan pengamal media.
“Pada masa sama, JPN juga menyampaikan penghargaan kepada rakan media yang telah bekerjasama erat dengan jabatan dalam menyampaikan maklumat autentik kepada orang ramai,” katanya. — Bernama



