Kerajaan disaran gubal RUU khas tangani penghinaan institusi diraja
Gubal RUU khas tangani penghinaan institusi diraja

SHAH ALAM: Kerajaan disaran menggubal satu undang-undang khas bagi membendung penghinaan terhadap institusi diraja dan mempertahankan martabat raja-raja Melayu daripada terus dicabar pihak tidak bertanggungjawab.

Cadangan Rang Undang-Undang Kedaulatan Raja

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Ibrahim Ali, berkata akta itu perlu diwujudkan segera sebagai langkah tegas menangani sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan serta provokasi terhadap institusi beraja dan kedudukan Islam di negara ini.

“Kami mencadangkan penggubalan rang undang-undang kedaulatan raja bagi tujuan mencegah dan menghukum mana-mana pihak atau individu yang mempersoalkan titah diraja, menghina, mengeji, memperlekeh, mempersenda atau melakukan apa-apa bentuk tindakan yang mencemarkan martabat raja-raja Melayu serta institusi diraja,” katanya.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Daulat Tuanku di luar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), hari ini.

Peningkatan Kes Penghinaan

Ibrahim berkata, cadangan itu dikemukakan susulan peningkatan kes penghinaan terhadap institusi diraja termasuk penularan karikatur yang didakwa menghina Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di media sosial baru-baru ini.

Terdahulu, kira-kira 5,000 peserta terdiri ahli parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan menyertai Himpunan Daulat Tuanku yang berarak sejauh kira-kira 1km dari Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah ke bangunan SSAAS, petang tadi.

Sebelum ini, Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, menyembah maklum kepada Sultan Sharafuddin sebanyak 307 laporan diterima berhubung penularan bahan di media sosial yang mengandungi unsur penghinaan terhadap baginda.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga