Zambry: Akses pendidikan tinggi perlu sejajar dasar negara, matlamat perpaduan
Zambry: Akses pendidikan tinggi perlu sejajar dasar negara

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Kerajaan mengamalkan pendekatan seimbang, inklusif dan bertanggungjawab dalam usaha memperluas akses kepada pendidikan tinggi negara sebagai sebahagian daripada membina titik pertemuan bersama bagi masyarakat majmuk Malaysia.

Pendekatan Inklusif Namun Berprinsip

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, komitmen tersebut bagaimanapun mesti kekal sejajar dengan usaha menegakkan teras Dasar Pendidikan Negara dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Menurut beliau, dalam sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan tidak boleh hanya dilihat melalui kanta tuntutan akademik, kepentingan kumpulan tertentu atau pertimbangan identiti yang sempit.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ia juga melibatkan pembinaan negara, memperkukuh perpaduan, memperkasakan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta memahami sejarah dan kenegaraan Malaysia.

“Atas sebab ini, kerajaan tidak boleh mengubah teras sistem pendidikan negara semata-mata untuk memenuhi tuntutan mana-mana aliran pendidikan tertentu,” katanya kepada Bernama dalam temu bual eksklusif di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Beliau menjawab kenyataan Gabungan Persatuan Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) pada 15 Mei, yang mendakwa kerajaan gagal mencerminkan keadilan pendidikan terhadap lulusan Ujian Sijil Pelajaran Bersepadu (UEC).

Kritikan Dong Zong Tidak Bertanggungjawab

Zambry menyifatkan dakwaan itu sebagai salah arah dan tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, mana-mana aliran pendidikan yang ingin mendapatkan akses lebih luas ke institusi awam mesti menunjukkan kesediaan untuk beroperasi dalam kerangka negara, dan menambah bahawa kerajaan perlu mempertahankan prinsip dan dasar negara yang menjadi asas identiti dan perpaduan negara.

Beliau menegaskan, keputusan kerajaan membenarkan pemegang UEC memohon ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) untuk kursus bahasa dan kesusasteraan Cina terpilih, dengan syarat mendapat kredit dalam Bahasa Melayu dan lulus Sejarah dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tidak boleh dianggap kabur, tidak adil atau cacat sistem seperti yang didakwa Dong Zong.

Bahasa Melayu dan Sejarah Asas Kenegaraan

Sebaliknya, katanya langkah itu mencerminkan pendekatan inklusif dan bertanggungjawab yang menghormati rangka Dasar Pendidikan Negara.

“Dalam hal ini, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan Sejarah sebagai asas kenegaraan tidak boleh dikompromi. Prinsip ini mesti dilaksanakan secara konsisten dan tidak boleh berubah hanya kerana tekanan politik atau tuntutan mana-mana pihak,” katanya.

Memperincikan lagi, Zambry berkata masa depan Malaysia bergantung kepada asas bersama yang mampu menyatukan rakyat melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemahaman sejarah negara dan semangat kenegaraan yang dikongsi bersama.

Beliau menambah, Dong Zong juga perlu memahami bahawa universiti awam adalah institusi negara yang ditadbir oleh dasar negara, dan oleh itu kerajaan berhak mengenakan syarat tertentu untuk memelihara standard pendidikan, keharmonian sistem dan kepentingan jangka panjang negara.

“Kerajaan tetap komited untuk memastikan sistem pendidikan tinggi negara terus inklusif, adil dan berkualiti tinggi. Namun, keterangkuman tidak bermakna kerajaan perlu mengorbankan dasar teras negara.

“Keterbukaan juga tidak bermakna negara harus mengabaikan prinsip kebangsaan yang menjadi tulang belakang pembangunan Malaysia sejak merdeka,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga