Umno tiada bantahan terhadap RUU Pendanaan Politik, kata Azalina
Umno tiada bantahan terhadap RUU Pendanaan Politik

BANGI: Umno tidak membantah cadangan penggubalan Rang Undang-undang (RUU) Pendanaan Politik, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata, setakat ini tiada bantahan daripada Umno, tetapi pandangan rasmi parti masih belum dibawa secara formal kerana proses mendapatkan maklum balas daripada semua parti politik masih berjalan.

“Setakat ini, tak ada pula bantahan daripada Umno. Tapi, kita tidak bawa dia secara rasmi sebab mereka akan buat rujukan kepada setiap parti secara formal mengenai pandangan masing-masing. Jadi, tiada pandangan rasmi, tetapi setakat ini saya tidak dengar Umno memberikan bantahan kepada pendanaan politik,” katanya selepas merasmikan program Dialog Awam Kerangka Akauntabiliti Madani 2026 di sini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Sebelum ini, Azalina dilaporkan berkata bahawa cadangan penggubalan RUU Akta Pendanaan Politik sedang dalam proses kajian dan memerlukan persetujuan semua parti politik kerana mereka akan menjadi pengguna utama undang-undang tersebut.

Beliau menjelaskan bahawa kajian berkaitan pendanaan politik sentiasa dilakukan, namun masih ada beberapa perkara dasar yang belum mencapai persetujuan sebulat suara. Antara isu yang masih dibincangkan termasuk keperluan pendanaan awam kepada parti politik, had sumbangan, serta entiti yang akan mengawal selia dana politik.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, sebelum ini menggesa agar penggubalan akta itu disegerakan. Beliau menegaskan bahawa langkah ini penting bagi memastikan tiada lagi pihak yang teraniaya dan menjadi “kambing hitam” dalam isu pembiayaan politik serta derma politik.

Proses mendapatkan maklum balas daripada semua parti politik dijangka diteruskan bagi memastikan RUU ini dapat dibentangkan dengan sokongan penuh daripada semua pihak berkepentingan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga