Hilangnya Rasa Hormat terhadap Guru: Tragedi Pendidikan
Hilangnya Rasa Hormat terhadap Guru: Tragedi Pendidikan

Apabila guru dilihat sebagai pihak yang perlu dipersalahkan dalam banyak keadaan, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu yang jauh lebih besar — rasa hormat. Ada sesuatu yang tidak kena dengan cara kita memandang guru hari ini. “Cikgu ni bodoh ke?” Kata-kata itu dihamburkan di hadapan khalayak oleh individu yang mendakwa anaknya dibiarkan berpanas ketika sukan sekolah, baru-baru ini. Mungkin ramai sukar percaya, tetapi inilah realiti yang jarang dipaparkan. Ya, kisah benar. Tidak perlu dinyatakan sekolah mana, tetapi malangnya insiden berlaku di kawasan bandar, yang sering dikaitkan dengan tahap pendidikan dan kesedaran yang lebih tinggi. Nada suaranya keras dan cukup menghiris, seolah-olah maruah seorang guru boleh dilenyek sesuka hati hanya kerana dia berdiri dalam pagar sekolah, bukan duduk atas kerusi empuk di belakang meja besar pejabat berhawa dingin.

Di sebalik insiden itu, ada guru yang sudah pun berada di sekolah sejak awal pagi. Mereka menguruskan murid yang berlari ke sana-sini, mengawal keadaan, memastikan keselamatan, dan menenangkan anak-anak yang teruja sementara menunggu giliran acara. Namun, semua itu sering tidak dipandang kerana yang lebih cepat dilihat hanyalah kekurangan dan kesilapan.

Antara Kritikan dan Penghinaan

Sudah tentu, ibu bapa berhak mempersoalkan aspek keselamatan dan kebajikan anak, terutama membabitkan aktiviti luar bilik darjah. Malah kritikan terhadap pengurusan sekolah atau sistem pendidikan juga tidak wajar disenyapkan. Kebimbangan seorang ibu atau bapa terhadap keselamatan anak sememangnya perlu difahami, lebih-lebih lagi apabila melibatkan cuaca panas dan kesihatan murid. Guru tidak kebal daripada kesilapan, tetapi apabila bahasa yang digunakan bertukar menjadi penghinaan, ia sebenarnya mengubah medan perbincangan daripada penambahbaikan kepada perendahan martabat. Di sini, ada perubahan halus yang berlaku dalam hubungan antara ibu bapa dan sekolah. Jika dahulu, guru dilihat sebagai rakan dalam membesarkan anak, kini dalam sesetengah keadaan mereka dilihat seperti pihak yang perlu ‘diaudit’ setiap masa — setiap keputusan dipersoalkan, tindakan diperhalusi, dan kesilapan diperbesar. Apabila isu yang timbul terus berakhir dengan tuduhan, penghinaan, dan persepsi negatif, ia perlahan-lahan menghakis asas kepercayaan yang menjadi tulang belakang pendidikan itu sendiri.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menanggung Beban

Hakikatnya, tugas guru hari ini jauh melangkaui bilik darjah. Selain mengajar, mereka mengurus dokumentasi, laporan, aktiviti kokurikulum, komunikasi dengan ibu bapa, dan pelbagai tugasan pentadbiran yang semakin bertambah dari semasa ke semasa. Pada masa sama, mereka juga berdepan tekanan emosi dari setiap penjuru — murid, sistem, tuntutan masyarakat, dan tidak terkecuali ibu bapa itu sendiri. Kita menuntut guru menjadi sempurna dalam semua hal, tetapi terlalu cepat menghukum apabila mereka gagal atau belum memenuhi jangkaan yang kadangkala tidak realistik. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kebimbangan mengenai beban tugas guru kerap dibangkitkan pelbagai pihak, termasuk kesatuan dan laporan berkaitan pendidikan. Antara isu yang sering diperkatakan adalah keletihan melampau atau ‘burnout’, selain kecenderungan guru memilih bersara awal selepas berdepan tekanan kerja yang berpanjangan. Walaupun angka lengkap jarang didedahkan secara terbuka, perbincangan mengenainya semakin jelas. Guru memilih bersara awal bukan kerana tidak mampu mengajar, tetapi kerana tidak lagi sanggup menanggung tekanan yang datang bersama profesion itu.

Lebih membimbangkan, bukan sekadar perkara itu, tetapi perubahan sikap masyarakat terhadap guru. Apabila guru dilihat sebagai pihak yang perlu dipersalahkan dalam banyak keadaan, kita sebenarnya sedang kehilangan sesuatu yang jauh lebih besar — rasa hormat terhadap kerjaya yang suatu ketika dahulu dianggap mulia. Tanpa penghormatan, yang tinggal hanyalah hubungan yang semakin ‘hilang jiwa dan berkira’. Sekolah dilihat sekadar penyedia perkhidmatan, guru dianggap petugas biasa, manakala pendidikan pula dinilai hanya berdasarkan aduan dan pencapaian semata-mata.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Tragedi Terbesar

Insiden seperti ini mungkin dilupakan sebagai episod ledakan emosi sementara, namun ia meninggalkan kesan psikologi yang berpanjangan terhadap guru tersebut. Pada masa sama, ia menimbulkan persoalan yang lebih mendalam — sejauh mana kita masih melihat guru sebagai insan yang membentuk masa depan generasi, bukan sekadar sasaran apabila sesuatu tidak berjalan seperti diharapkan? Jika kecenderungan ini berterusan, mungkin tragedi terbesar dalam dunia pendidikan hari ini bukan hanya kekurangan guru akibat pencen awal, tetapi kekurangan mereka yang sanggup bertahan dalam profesion itu kerana hilangnya rasa hormat masyarakat terhadap manusia bernama cikgu. Barangkali bagi guru itu, ungkapan ‘cikgu ni bodoh ke?’ akan kekal terpahat dalam ingatan berbanding segala ucapan penghargaan sempena Hari Guru yang disambut hari ini. Penulis ialah timbalan pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT. Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.