Projek SJKT Sungai Bakap ditetapkan siap tahun 2027 selepas kelewatan lama
Projek SJKT Sungai Bakap siap 2027 selepas kelewatan

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) (SJKT) Sungai Bakap, Pulau Pinang, yang tertangguh sejak 2015, dijangka siap sepenuhnya pada suku keempat 2027.

Menteri sahkan tarikh siap baharu

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata projek itu diteruskan selepas Perdana Menteri meluluskan kos siling sebanyak RM12,667,367.59 dengan Yayasan Didik Negara dilantik sebagai agensi pelaksana.

Beliau berkata projek itu merangkumi pembinaan satu blok gantian penuh bangunan sekolah yang dilengkapi enam bilik darjah, sebuah pejabat am, bilik khas dan kemudahan lain di atas tapak yang dipegang oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Iklan tender projek telah dikeluarkan pada 14 Jun 2026 dan tarikh Surat Setuju Terima (SST) dijangka dikeluarkan pada minggu ketiga Ogos 2026,” katanya dalam jawapan kepada soalan Senator Dr A. Lingeshwaran mengenai status terkini, punca kelewatan dan tindakan kerajaan untuk menyelesaikan isu pembinaan SJKT Sungai Bakap di Dewan Negara, semalam.

Punca kelewatan sejak 2015

Mengulas punca kelewatan projek sejak 2015, Fadhlina menjelaskan ia berpunca daripada beberapa isu berkaitan pelaksanaan, kekangan kewangan dan pertikaian undang-undang.

Menurutnya, walaupun Lembaga Pengurus Sekolah telah menerima peruntukan khas sekali gus sebanyak RM3.5 juta daripada kerajaan persekutuan pada 2015, projek itu gagal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Keadaan ini menyebabkan projek terbengkalai dan menimbulkan tuntutan liabiliti kewangan antara pihak yang terlibat, yang kemudiannya membawa kepada prosiding mahkamah termasuk terhadap Kementerian Pendidikan (KPM). Bagaimanapun, Mahkamah Sesyen menolak kes yang difailkan terhadap KPM pada Mei 2026,” katanya.

KPM akan kaji semula garis panduan

Sementara itu, Fadhlina berkata KPM bersedia untuk mengkaji semula Garis Panduan Pertukaran Lokasi Sekolah bagi menangani isu sekolah yang mempunyai kurang murid, terutamanya di SJKT.

Beliau berkata KPM sentiasa terbuka untuk mengkaji semula kriteria sedia ada bagi memastikan keutamaan pendidikan diberikan kepada semua jenis sekolah secara adil, sambil turut menekankan kepentingan sesi libat urus dengan komuniti untuk menjayakan pemindahan sekolah mengikut keperluan demografi setempat.

“Isu SJKT ini melibatkan perkara komuniti, dan sebab itu sesi libat urus sangat penting di peringkat komuniti. Selain garis panduan, pendekatan kita juga mesti merangkumi sesi libat urus,” katanya.

Isu sekolah terbengkalai di Sabah

Menjawab soalan tambahan daripada Senator Datuk Anna Bell @ Suzieana Perian mengenai isu sekolah terbengkalai di Sabah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon di Kota Marudu dan Sekolah Menengah Sains Sabah di Kota Kinabalu, Fadhlina berkata beliau akan memberikan jawapan bertulis kerana melibatkan butiran khusus.

Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa kementeriannya sentiasa memberikan perhatian serius terhadap isu infrastruktur sekolah di negeri itu.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga