KUALA LUMPUR, 4 Mei — Kadar kebolehpasaran graduan TVETMARA yang melebihi 98 peratus membuktikan keberkesanan kerjasama strategik dengan industri dalam memastikan latihan yang disediakan kekal relevan dan memenuhi keperluan pasaran buruh, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Transformasi Pendidikan Kemahiran
Beliau berkata pencapaian itu adalah hasil transformasi dalam pendidikan kemahiran melalui penjenamaan semula TVETMARA, yang menekankan standard latihan selaras dengan keperluan ekonomi masa depan.
“Ini bukan sekadar perubahan nama, tetapi satu peralihan besar dalam memastikan kandungan, standard dan kualiti latihan benar-benar memenuhi permintaan industri dan ekonomi masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Malam Gala Persada MARA yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) semalam.
Hadir Sama
Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang dan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Membentuk Generasi Berdaya Saing
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata aspirasi kerajaan bukan sekadar melahirkan pencari kerja, tetapi untuk membentuk generasi yang berdaya saing, mampu memimpin dan mencipta peluang.
“Kita mesti menghasilkan teknousahawan dan pencipta peluang untuk pertumbuhan ekonomi negara.
“Saya menyeru rakan industri untuk terus bekerjasama membuka peluang, membimbing dan melatih generasi ini supaya mereka bukan sahaja bersedia untuk masa depan, tetapi mampu menguasainya,” katanya.
Hala Tuju MARA
Beliau berkata hala tuju MARA mesti diperkukuh dengan beralih daripada institusi yang sekadar menyediakan peluang kepada ekosistem yang membina kekuatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut memuji kecemerlangan institusi pendidikan MARA, terutamanya Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), yang terus mendominasi kedudukan teratas dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Beliau berkata model MRSM Ulul Albab telah berjaya melahirkan 221 pelajar yang menghafal kesemua 30 juzuk al-Quran dan mendapat keputusan cemerlang, membuktikan bahawa kecemerlangan dalam sains dan pengajian al-Quran boleh berjalan seiring.
“Kita mahu melahirkan pemimpin masa depan yang berilmu, berakhlak mulia dan mampu memimpin negara dengan bijaksana dalam dunia yang semakin mencabar,” katanya. — Bernama



