TVET Pemacu Utama Kejayaan NIMP 2030 Lahirkan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi
TVET Pemacu Utama Kejayaan NIMP 2030

TVET Pemacu Utama Kejayaan NIMP 2030 Lahirkan Tenaga Kerja Berkemahiran Tinggi

Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) menandakan komitmen besar negara untuk mentransformasikan landskap perindustrian Malaysia ke arah ekonomi yang lebih kompleks, berteknologi tinggi, hijau dan inklusif. Pelan tujuh tahun yang digerakkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ini berpaksikan empat misi utama, iaitu mempercepat adaptasi teknologi, mendorong transisi hijau, menjamin keselamatan ekonomi serta memastikan penyertaan menyeluruh merentas wilayah dan lapisan masyarakat.

TVET Sebagai Pemangkin Transformasi Industri

Dalam menjayakan aspirasi besar itu, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) muncul sebagai pemangkin utama dalam melahirkan tenaga kerja masa hadapan yang bukan sahaja berkemahiran tinggi, malah bersifat adaptif, inovatif dan relevan dengan kehendak industri moden. Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Mahzan Teh, menegaskan bahawa kejayaan NIMP 2030 amat bergantung kepada keupayaan negara membangunkan modal insan yang bukan sekadar mahir dari sudut teknikal, tetapi juga mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pantas serta keperluan industri bernilai tinggi.

"Penekanan kini diberikan kepada penyediaan tenaga kerja berkemahiran tinggi, penguasaan teknologi canggih serta kerjasama erat antara institusi pendidikan dan industri," jelas Mahzan. "Oleh itu, transformasi TVET dilihat sebagai elemen penting dalam menyokong aspirasi NIMP 2030 untuk melahirkan tenaga kerja kompeten yang mampu memacu pertumbuhan industri bernilai tinggi di Malaysia."

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Penstrukturan Semula Kurikulum Berdasarkan Keperluan Industri

Menurut beliau, antara langkah utama yang sedang dilaksanakan ialah penstrukturan semula kurikulum TVET berdasarkan keperluan sebenar industri. Ketika ini, TVETMARA memberi tumpuan khusus kepada sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) dengan fokus utama kepada bidang:

  • Pembuatan Pintar (Smart Manufacturing)
  • Kenderaan Elektrik (EV)
  • Teknologi digital seperti BIM dan SCADA
  • Elektrik dan Elektronik (E&E)
  • Robotik
  • Industri halal dalam bioteknologi

TVETMARA juga memberi perhatian kepada bidang peralihan tenaga yang merangkumi tenaga boleh baharu seperti hidrogen, solar, sistem grid pintar, elektrik voltan tinggi serta teknologi pemerangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS). Usaha ini bertujuan melahirkan tenaga kerja mahir yang kompeten dan berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan sebenar industri yang semakin berorientasikan teknologi canggih dan kelestarian.

Program Diploma Industri dan Kerjasama Strategik

Pada masa sama, kerjasama strategik bersama industri terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pembelajaran berteraskan Industrial-Based Education and Training (IBET), dengan industri berperanan sebagai rakan strategik utama dalam pembangunan serta pelaksanaan program latihan.

Menerusi pendekatan itu, TVETMARA menawarkan program Diploma Industri yang membolehkan pelatih memperoleh pengalaman kerja sebenar dalam sektor teknologi tinggi. "Inisiatif ini membantu mengurangkan jurang skills mismatch antara kemahiran yang diajar di institusi dan keperluan sebenar industri," kata Mahzan. "Program ini direka melalui pembelajaran berasaskan kerja (Work-Based Learning) dan menyediakan laluan terus ke alam pekerjaan selepas tamat latihan."

Antara Diploma Industri yang ditawarkan hasil kerjasama langsung dengan industri ialah:

  1. Diploma Industri Pembuatan Komposit Aeroangkasa bersama CTRM Aero Composites Sdn Bhd
  2. Diploma Industri Pengeluaran Seramik Termaju bersama White Horse Ceramic Industries Sdn Bhd dan Times Ceramica Sdn Bhd
  3. Diploma Industri Loji Bersepadu bersama Sakura Ferroalloys Sdn Bhd
  4. Diploma Industri Pembuatan Plastik Pintar bersama V S Industry Sdn Bhd yang mula mengambil pelajar kohort pertama pada pengambilan Januari 2026

"Usaha ini bertujuan melahirkan graduan yang bukan sahaja mudah mendapat pekerjaan, malah memiliki kemahiran khusus bernilai tinggi yang membolehkan mereka menikmati gaji kompetitif serta laluan kerjaya yang mampan," tambah Mahzan.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Transformasi Persepsi dan Peningkatan Pembiayaan

Mahzan berkata, persepsi terhadap TVET juga semakin berubah. Ia tidak lagi dilihat sebagai laluan pendidikan sekunder, sebaliknya menjadi komponen penting dalam pembinaan tenaga kerja berkemahiran tinggi negara. Ini kerana program TVET kini merangkumi modul yang relevan dengan teknologi terkini seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi.

"Program juga disasarkan untuk menarik minat pelajar kepada potensi kerjaya bernilai tinggi dengan peluang gaji yang kompetitif dan pelbagai laluan perkembangan kerjaya," katanya.

Bagi memastikan sistem TVET terus relevan dan berdaya saing, kerajaan turut meningkatkan pembiayaan serta sokongan yang lebih menyeluruh kepada sektor ini. Dalam Belanjawan 2026, peruntukan untuk TVET dinaikkan kepada RM7.9 bilion berbanding RM7.5 bilion sebelum ini, dengan fokus kepada pembangunan bakat tempatan dalam bidang teknologi tinggi.

Pendidikan STEM dan Agenda Industri Hijau

Dalam konteks pembangunan bakat jangka panjang, NIMP 2030 turut menekankan kepentingan pendidikan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) bermula di peringkat sekolah menengah. Mahzan berkata, pendidikan STEM penting dalam membentuk asas pemikiran kritis, kreatif dan inovatif dalam kalangan pelajar.

"Pendedahan STEM di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) pada peringkat awal membolehkan pelajar mengenal potensi dan kecenderungan diri terhadap bidang teknikal dan profesional, sekali gus memudahkan mereka membuat pilihan pendidikan dan kerjaya yang lebih tepat," jelasnya.

Seiring keperluan Industri 4.0, TVETMARA turut mengambil langkah proaktif menyemak, menstruktur semula dan menaik taraf kurikulum bagi memastikan keselarasan dengan keperluan automasi, pendigitalan dan teknologi baharu. Dalam menyokong agenda industri hijau dan mampan, TVETMARA juga memperkenalkan program berkaitan tenaga hijau termasuk Diploma Teknologi Kejuruteraan Pembinaan (Bangunan Hijau), teknologi EV untuk kenderaan komersial dan ringan serta pensijilan tenaga solar.

Ketika ini, program TVETMARA turut dilengkapi modul berkaitan tenaga boleh baharu, pengurusan karbon dan teknologi CCUS, selain pelaksanaan Sijil Pensijilan Green TVET melalui kerjasama dengan agensi berkaitan.

TVET Sebagai Laluan Kerjaya Strategik

Mengulas hala tuju TVET, Mahzan menegaskan laluan ini bukan lagi pilihan kedua, sebaliknya adalah laluan kerjaya strategik yang selari dengan keperluan dan hala tuju perindustrian negara. Malah, melalui lebih 270 institusi pendidikan TVET MARA, pelajar Bumiputera diberi peluang meningkatkan kompetensi teknikal secara berterusan melalui latihan hands-on, pensijilan profesional dan pendedahan industri.

"TVET adalah pelaburan masa hadapan yang mampu menjamin pendapatan tinggi, kestabilan kerjaya dan peluang berkembang dalam sektor industri yang pesat membangun," tegas Mahzan.