Malaysia beralih daripada resolusi kesihatan global kepada pelan tindakan
Malaysia beralih ke pelan tindakan kesihatan global

Malaysia kini melangkah ke fasa baharu diplomasi kesihatan, melangkaui resolusi dan pengiktirafan antarabangsa kepada pelaksanaan reformasi yang menghasilkan perubahan langsung kepada kualiti dan keselamatan penyampaian sistem kesihatan. Menerusi penyertaan dalam Perhimpunan Kesihatan Sedunia ke-79 (WHA79) di Geneva, Switzerland, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad menyeru negara-negara anggota mengambil pendekatan tegas dalam menginterpretasikan komitmen global kepada pelan tindakan di peringkat domestik dan serantau.

Menurut beliau, reformasi kesihatan tidak boleh bersifat dangkal dan berhenti di peringkat dasar serta pengiktirafan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada manfaat yang dapat digunakan dan dihargai rakyat. “Mesej saya di pentas antarabangsa ini ringkas tapi tegas: Kita tidak boleh lagi sekadar bersembang tentang dasar, kita mesti bertindak sekarang. Resolusi antarabangsa hanya benar-benar bermakna apabila manfaatnya mampu menjangkau kelompok masyarakat yang paling rentan,” katanya berucap pada acara tambahan pada perhimpunan tersebut.

Agenda dan Intervensi Strategik Malaysia

Sidang anjuran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu turut menyaksikan pelbagai agenda dibawa Malaysia, termasuk 18 intervensi strategik merangkumi isu kritikal seperti pembasmian malaria, kesihatan mental, penyakit tidak berjangkit (NCD) dan ekonomi kesihatan. Dzulkefly juga diberi penghormatan menyampaikan ucaptama dalam enam forum antarabangsa berprestij yang memberi tumpuan kepada kesihatan paru-paru, kesihatan mata, sains tingkah laku, hepatitis dan penyakit jarang berlaku.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Di peringkat serantau, Malaysia turut memacu cadangan Deklarasi Asean mengenai Penyakit Jarang Jumpa bagi memastikan pesakit terutama kanak-kanak mendapat diagnosis awal dan akses rawatan lebih adil. Dalam masa sama, negara memperkenalkan National Blueprint for Behavioural Sciences bagi memperkukuhkan strategi “perang” terhadap 5S (gula, asap, garam, stigma dan gaya hidup sedentari) dalam usaha mengekang peningkatan NCD dan masalah kesihatan mental.

Pengiktirafan Antarabangsa dan Kerjasama Dua Hala

Usaha Malaysia memperkukuhkan akses ubat-ubatan kritikal turut mendapat perhatian antarabangsa apabila pertubuhan Medicines Patent Pool (MPP) memilih negara sebagai model kajian kes global. Selain sidang utama, Malaysia turut mengadakan beberapa pertemuan dua hala strategik dengan Sepanyol, Singapura, Vietnam dan Bangladesh dengan fokus utama kerjasama termasuk sistem pendermaan organ, kesihatan digital dan keselamatan kesihatan serantau.

Penglibatan aktif Malaysia dalam WHA79 ini menunjukkan peralihan daripada sekadar resolusi kepada pelaksanaan konkrit. Jika WHA78 tahun lalu menjadi titik penting apabila Malaysia, selaku Pengerusi Asean, mencipta sejarah dengan menerajui dan membentangkan Resolusi Kesihatan Paru-paru Bersepadu pertama di peringkat WHO, resolusi tersebut mendapat sokongan daripada 18 negara anggota dan merangkumi pendekatan menyeluruh terhadap penyakit seperti kanser paru-paru, asma dan COPD (Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik) dengan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam saringan awal.

Kejayaan itu meletakkan Malaysia sebagai “thought leader” dalam isu kesihatan paru-paru dan inovasi teknologi kesihatan di peringkat global. Pertemuan strategik dengan Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus turut memperlihatkan pengiktirafan antarabangsa terhadap kepimpinan Malaysia dalam isu NCD dan pendigitalan kesihatan.

Asas Pengaruh dalam Diplomasi Kesihatan Global

Sementara itu, penyertaan Malaysia dalam WHA77 pada 2024 menjadi asas kepada peningkatan pengaruh negara dalam diplomasi kesihatan global. Antara pencapaian terbesar ketika itu ialah pengiktirafan WHO terhadap MySejahtera sebagai model rujukan dunia bagi pengurusan pandemik di kawasan bandar. Rekod Malaysia dalam menurunkan kadar jangkitan HIV melalui perkongsian jarum (daripada 66% kepada 2.7%) turut diangkat sebagai kejayaan sains tingkah laku dalam kesihatan awam.

Dalam isu keselamatan kesihatan global pula, Malaysia memainkan peranan penting dalam rundingan pindaan International Health Regulations (IHR 2005) dan Perjanjian Pandemik dengan menekankan aspek ekuiti serta perlindungan kedaulatan negara membangun.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga