PUTRAJAYA, 20 Mei — Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkukuhkan langkah kesiapsiagaan dan pemantauan susulan pengisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa wabak Ebola yang disebabkan oleh virus Bundibugyo sebagai Darurat Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) pada 17 Mei lalu.
Tiada kes Ebola di Malaysia setakat ini
KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia setakat ini, namun langkah persediaan terus dipertingkatkan dengan mengambil kira risiko import kes melalui perjalanan antarabangsa berikutan wabak di Republik Demokratik Congo dan Uganda.
“KKM sedang memantau pengembara yang memasuki Malaysia dari Uganda dan Republik Demokratik Congo, termasuk mereka yang transit melalui hab antarabangsa seperti Dubai, Doha dan Singapura. Tiada penerbangan terus dari kedua-dua negara ke Malaysia buat masa ini,” kata kenyataan itu.
Pemantauan dan saringan dipergiat
Kementerian memaklumkan bahawa usaha pemantauan dan saringan dipergiatkan untuk menyokong penilaian risiko kesihatan awam dan membolehkan langkah pencegahan awal dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu, sebanyak lapan kes disahkan makmal dan 246 kes disyaki telah dilaporkan kepada WHO setakat 16 Mei, bersama 80 kematian disyaki di Wilayah Ituri di Republik Demokratik Congo. Di Uganda, dua kes disahkan termasuk satu kematian dilaporkan di Kampala, membabitkan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke Republik Demokratik Congo.
Ebola penyakit berjangkit serius
Ebola adalah penyakit berjangkit serius yang boleh membawa maut dan merebak melalui sentuhan rapat dengan darah atau cecair badan individu atau haiwan yang dijangkiti. Gejala lazim termasuk demam, sakit kepala, sakit otot, keletihan, muntah dan cirit-birit, dan dalam sesetengah kes, pendarahan.
Bagi mengukuhkan kesiapsiagaan negara, KKM menyatakan pelbagai langkah dilaksanakan termasuk pengawasan dipertingkat di semua pintu masuk antarabangsa, pengesanan kes awal yang lebih baik, dan kesediaan lebih tinggi fasiliti kesihatan untuk mengasingkan dan mengurus kes disyaki.
Persediaan PPE dan latihan petugas kesihatan
Selain itu, kementerian memaklumkan persediaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan latihan untuk petugas kesihatan dikekalkan pada tahap optimum, manakala kapasiti diagnostik makmal diperkukuh dengan kerjasama Institut Penyelidikan Perubatan dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan.
KKM juga memperkukuh koordinasi dan pemantauan risiko global bersama WHO, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia, syarikat penerbangan dan agensi berkaitan yang lain.
Nasihat kepada pengembara
“Individu yang pernah melawat negara terjejas dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan perubatan jika mengalami gejala seperti demam, sakit badan, muntah atau pendarahan dalam tempoh 21 hari selepas pulang,” kata kenyataan itu.
Kementerian juga menggesa orang ramai untuk hanya bergantung pada maklumat rasmi daripada KKM dan WHO, serta mengelak daripada berkongsi maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan awam. — Bernama



