Kementerian Kesihatan (KKM) menyasarkan semua pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah atau 'housemanship' ditawarkan jawatan tetap bermula 2028. Ketua Setiausaha KKM, Hasnol Zam Zam Ahmad, berkata sasaran itu sebahagian usaha kerajaan menyelesaikan isu lantikan doktor kontrak, selain memperkukuh tenaga kerja kesihatan negara.
4,500 pegawai perubatan kontrak diserap tahun ini
Katanya, kementerian menjangkakan kira-kira 4,500 pegawai perubatan kontrak diserap ke jawatan tetap tahun ini, manakala baki lantikan akan dibuat secara berperingkat pada 2027 dan 2028. "Kita sedang berunding dengan kerajaan untuk menetapkan dasar baharu iaitu mulai 2028 semua houseman yang menamatkan housemanship mereka terus ditawarkan jawatan tetap. Itu sasaran kita," katanya dalam program audio siar Edisi Khas Bicara Sihat.
800 jawatan baharu setiap tahun
Hasnol berkata, kerajaan juga meluluskan 800 jawatan pegawai perubatan baharu setiap tahun. Pada masa sama, KKM sedang mengisi 18,000 jawatan membabitkan 86 skim perkhidmatan yang diluluskan untuk 2026 bagi menangani kekurangan tenaga kerja dan mengurangkan beban petugas kesihatan.
Tiada pembekuan pengambilan
Beliau menafikan dakwaan konon berlaku pembekuan pengambilan kakitangan KKM. Menurutnya, hampir 60% daripada 18,000 jawatan itu sudah diisi setakat Jun, dan kementerian menjangkakan semua kekosongan dapat dipenuhi menjelang akhir tahun. "Tiada pembekuan, malah KKM sedang rancak mengisi kekosongan itu dan sedang berurusan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam," katanya.
Langkah atasi burnout
Menyentuh isu kelesuan upaya atau 'burnout', Hasnol berkata KKM melaksanakan beberapa langkah penambahbaikan, termasuk memperbaiki persekitaran kerja, menambah bilangan petugas, menggantikan peralatan usang dan memperkenalkan sistem kerja lebih sesuai. Bagaimanapun, perubahan itu tidak dapat dilaksanakan secepat peningkatan permintaan rakyat terhadap perkhidmatan kesihatan.
Cabaran ganti doktor pakar
Hasnol juga berkata, antara cabaran utama KKM ialah menggantikan doktor pakar yang meninggalkan perkhidmatan, sama ada kerana bersara, menyambung pengajian atau sebab lain. Proses melahirkan pakar baharu mengambil masa panjang dan tidak sama seperti skim perkhidmatan lain yang boleh diganti dalam tempoh singkat. "Katakan tahun ini kita hilang 10 doktor pakar, untuk menggantikan jawatan itu mungkin ambil masa empat tahun akan datang. Dalam skim lain, hilang pekerja bulan ini, bulan depan sudah ada pengganti. Tapi skim kita tidak begitu, walaupun untuk jawatan juruteknik, pergigian, radiografi termasuk peringkat sokongan. Itu uniknya skim kita di KKM," katanya.



