PUTRAJAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan keputusan Tribunal bagi Antigangguan Seksual (TAGS) yang memihak kepada seorang wanita yang gambarnya dikongsi tanpa izin oleh bekas teman lelakinya di media sosial.
Keputusan Mahkamah
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada Selasa, mahkamah mengekalkan award bertarikh 1 Ogos 2024 yang mewajibkan responden memohon maaf secara bertulis, menghadiri sesi kaunseling, dan membayar RM60,000 sebagai ganti rugi kepada pengadu.
“Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ini mengukuhkan peranan TAGS sebagai mekanisme keadilan yang pantas, mudah dan berkesan dalam memberi remedi kepada mangsa gangguan seksual, termasuk gangguan seksual digital,” demikian menurut kenyataan itu.
Peranan TAGS
KPWKM memaklumkan bahawa TAGS yang ditubuhkan pada 8 Mac 2024 menyediakan saluran alternatif kepada mahkamah sivil untuk mendengar dan memutuskan aduan gangguan seksual. Penubuhan tribunal ini menandakan langkah penting dalam usaha negara memperkukuh perlindungan kepada mangsa gangguan seksual dan mewujudkan masyarakat yang lebih selamat dan bermaruah.
Mangsa gangguan seksual dalam apa jua bentuk, sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat atau fizikal, boleh membuat aduan kepada TAGS. Untuk maklumat lanjut, hubungi Talian Kasih di 15999, WhatsApp 019-2615999, atau layari portal rasmi TAGS. — Bernama



