Shah Firdaus tewaskan Azizulhasni raih semula mahkota keirin kebangsaan
Shah Firdaus tewaskan Azizulhasni raih semula mahkota keirin

Shah Firdaus tewaskan Azizulhasni raih semula mahkota keirin kebangsaan

Pelumba Johor, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, berjaya menafikan cabaran sengit jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang, untuk menjuarai acara keirin elit lelaki pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Walaupun Mohd Azizulhasni cuba melakukan pecutan saat akhir, Muhammad Shah Firdaus kekal tenang dengan kayuhannya dan melepasi garisan penamat terlebih dahulu untuk meraih pingat emas. Pingat perak dimenangi oleh Mohd Azizulhasni yang mewakili Pasukan Azizul, manakala gangsa menjadi milik Muhammad Fadhil Mohd Zonis dari Selangor.

Muhammad Shah Firdaus berkata beliau hanya memecut pada pusingan terakhir dan lega dapat menghalang kemaraan Mohd Azizulhasni, sekali lagi menjuarai kejohanan kebangsaan selepas kali terakhir memenanginya pada edisi 2022.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Dalam dua pusingan pertama saya mengawal kelajuan, tetapi apabila loceng berbunyi saya terus memecut laju... Alhamdulillah saya berjaya meraih tempat pertama,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Sementara itu, Mohd Azizulhasni mengakui keunggulan Muhammad Shah Firdaus walaupun beliau telah memberikan yang terbaik dalam perlumbaan terakhir acara kegemarannya. Pemenang pingat perak keirin lelaki Olimpik Tokyo 2020 itu turut mengucapkan tahniah kepada Muhammad Shah Firdaus dan gembira melihat pesaingnya kembali ke tahap terbaik menjelang Sukan Komanwel 2026 di Glasgow dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Sukan Komanwel 2026 dijadualkan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, manakala Sukan Asia 2026 akan diadakan dari 19 September hingga 4 Oktober.

Dalam pada itu, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menunjukkan penguasaannya dalam acara keirin elit wanita untuk membawa pulang emas bagi Kedah. Nurul Izzah Izzati menewaskan Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor yang meraih perak, manakala pelumba Pasukan Cahya Mata Anis, Amira Rosidi, terpaksa berpuas hati dengan gangsa.

Berpuas hati dengan kejayaan hari ini, Nurul Izzah berharap dapat mengekalkan momentum apabila bertanding dalam acara pecut esok. Kejohanan selama empat hari yang bermula semalam akan berakhir pada Jumaat. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga