KUALA LUMPUR: Pesakit bakal menikmati perkhidmatan lebih lancar semasa mendapatkan rawatan apabila rekod perubatan elektronik diperluaskan ke lebih banyak hospital dan klinik kerajaan dalam tempoh lima tahun akan datang, menurut pakar kesihatan.
Doktor beralih ke sistem digital
Timbalan Pengarah Bahagian Kesihatan Digital Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Vivek Jason Jayaraj, berkata usaha itu sebahagian pelan memperkukuh pendigitalan sistem kesihatan, dengan matlamat meletakkan pesakit sebagai tumpuan utama. Antara perubahan yang akan dilihat ialah doktor akan menggunakan sistem digital untuk merekod kesihatan pesakit, malah keputusan makmal dan radiologi turut disepadukan secara elektronik.
“Sekarang ini, doktor masih menggunakan pen dan kertas ketika memberikan rawatan di klinik. Dalam era hari ini, keadaan itu mungkin kelihatan agak janggal kerana hampir semua aspek lain dalam kehidupan seharian kita sudah beralih kepada sistem digital,” katanya pada Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 dalam sesi dialog.
Perjalanan pendigitalan sejak 40 tahun lalu
Vivek berkata KKM memulakan perjalanan pendigitalan sektor kesihatan sejak kira-kira 40 tahun lalu, namun pelbagai cabaran menyebabkan transformasi berkembang lebih perlahan daripada apa yang dirancang. Bagaimanapun, kemajuan semakin ketara apabila hampir 500 klinik kerajaan berjaya didigitalkan dalam tempoh dua tahun lalu, manakala lebih banyak hospital dijangka menyusul tahun ini.
Tambahan pula, sebahagian rekod kesihatan seperti maklumat farmaseutikal dan data daripada digital kini boleh diakses menerusi aplikasi MySejahtera — langkah awal ke arah sistem kesihatan yang lebih bersepadu.
Asas digital sebelum teknologi canggih
Menurutnya, pembinaan asas digital seperti rekod perubatan elektronik dan perkongsian data yang selamat perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum teknologi lebih canggih seperti teleperubatan, pemantauan pesakit dari jauh, Internet Pelbagai Benda atau IoT, dan kecerdasan buatan dapat dimanfaatkan secara meluas.
Pakar Penyelesaian Vertikal Kanan Huawei Malaysia, Nicholas Yong, berkata kejayaan pendigitalan tidak bergantung kepada teknologi semata-mata, tetapi memerlukan penyelarasan dasar serta kerjasama antara pelbagai agensi kerajaan. Beliau berkata pembangunan sistem kesihatan digital perlu bermula dengan prasarana digital yang kukuh serta platform data kesihatan bersepadu supaya semua pihak menggunakan standard yang sama.
“Jika asas dibina dengan betul, teknologi baharu boleh ditambah dari semasa ke semasa tanpa perlu mengubah keseluruhan sistem. Sama seperti membina sebuah bangunan, pelan dan asasnya perlu kukuh terlebih dahulu,” katanya.
Transformasi ekosistem kesihatan
Sementara itu, Ketua Platform Inovasi Enterprise U Mobile, Junaida Abdullah, berkata pendigitalan bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu, tetapi merupakan transformasi keseluruhan ekosistem, melibatkan penyedia perkhidmatan kesihatan, syarikat teknologi, pengawal selia dan pesakit. Beliau berkata sambungan digital yang stabil menjadi pemangkin kepada pelaksanaan teleperubatan, pemantauan pesakit dari jauh, dan penyelesaian berasaskan AI.
Beliau turut menyokong penggunaan pendekatan ‘regulatory sandbox’, iaitu mekanisme yang membolehkan teknologi kesihatan diuji dalam persekitaran terkawal sebelum diperkenalkan secara meluas. Pendekatan itu membantu penginovasi, penyedia penjagaan kesihatan dan pengawal selia menilai keberkesanan sesuatu penyelesaian dalam situasi sebenar tanpa menjejaskan keselamatan pesakit.
Beliau berkata AI juga tidak seharusnya menggantikan hubungan antara doktor dan pesakit, sebaliknya digunakan untuk meningkatkan kecekapan seperti penjadualan temu janji, pengurusan data dan sokongan kepada proses membuat keputusan.



