Badan pemikir cadang kerajaan ambil alih hospital swasta di PJ
Cadangan ambil alih hospital swasta di PJ

PETALING JAYA: Sebuah badan pemikir kesihatan mencadangkan kerajaan mempertimbangkan untuk menyewa sebuah hospital swasta bersaiz sederhana di Petaling Jaya dan mengambil alih operasinya sebagai hospital awam. Ketua Pegawai Eksekutif Galen Centre, Azrul Khalib, berkata langkah itu merupakan kaedah yang lebih cepat dan praktikal untuk menangani kekurangan hospital awam di kawasan berkenaan, selain berpotensi menjimatkan kos.

Cadangan Galen Centre

Azrul berkata Putrajaya boleh mengambil alih salah satu daripada banyak hospital swasta di Petaling Jaya untuk tempoh 10 hingga 15 tahun sementara menunggu sebuah hospital awam dibina. Katanya, kerajaan juga boleh mengambil alih operasinya secara kekal menerusi pemerolehan yang dirundingkan atau konsesi jangka panjang.

“Kementerian Kesihatan (KKM) boleh menyewa fasiliti itu, mengambil secara kontrak kakitangan sedia ada, mengekalkan pasukan klinikal penting, dan menukar caj perkhidmatan kepada kadar hospital awam,” katanya dalam satu kenyataan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Kelebihan Langkah Tersebut

Katanya, kaedah itu tidak akan menghapuskan keperluan untuk membina sebuah hospital awam pada masa depan yang mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun sedang penduduk memerlukan perkhidmatan itu sekarang. Beliau berkata, langkah itu akan memberi ruang kepada Putrajaya untuk merancang sebuah fasiliti kerajaan yang sesuai di Petaling Jaya, sambil tetap menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan awam dengan cepat dan pada skala besar.

“Ada yang akan mengatakan hospital swasta terlalu mahal untuk diambil alih sepenuhnya. Ada juga yang akan mengatakan fasiliti swasta tidak direka bentuk seperti hospital awam. Isu tenaga kerja juga akan terus menjadi masalah.

“Semuanya benar, tetapi cadangan ini boleh disesuaikan dengan lebih cepat berbanding menukar tanah kosong menjadi sebuah hospital. Menempatkan kakitangan di hospital operasi yang disewa mungkin lebih mudah dan lebih menjimatkan kos berbanding membina, melengkapkan dan menempatkan kakitangan di hospital baharu,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga