KUALA LUMPUR, 4 Mei — Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BBC) mendesak kerajaan membentangkan pelan mitigasi komprehensif berikutan kebimbangan awam terhadap unjuran cadangan restruktur belanjawan negara, khususnya melibatkan sektor kesihatan yang dianggarkan mencecah RM3 bilion.
Pelan mitigasi perlu jelas
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata walaupun keperluan mengukuhkan kedudukan fiskal negara difahami dalam konteks ekonomi semasa, pelan mitigasi yang jelas dan komprehensif perlu dibentangkan bagi memastikan pelarasan peruntukan tidak menjejaskan kualiti perkhidmatan kesihatan awam.
Beliau berkata bagi memastikan kemampanan sistem kesihatan negara dalam jangka sederhana dan panjang, pelaksanaan inisiatif yang digariskan dalam Kertas Putih Kesihatan perlu dipercepatkan, termasuk peralihan kepada pendekatan penjagaan kesihatan yang lebih komprehensif berasaskan kesejahteraan.
“Sejajar dengan aspirasi ini, pengenalan Pelan Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan Asas (MHIT) perlu dipercepatkan sebagai mekanisme pembiayaan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada dana persekutuan, sambil memastikan sistem kesihatan yang inklusif, mampan dan mampu milik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Cadangan BBC
Dr Zaliha, yang juga Ahli Parlimen Sekijang, berkata BBC turut mencadangkan kerajaan menangguhkan sementara pembinaan hospital baharu dan mengutamakan peningkatan kemudahan sedia ada, termasuk memastikan ketersediaan peralatan perubatan.
Beliau berkata usaha memperkukuh kapasiti pengeluaran tempatan bagi ubat-ubatan dan alat perubatan juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan bekalan kesihatan negara.
Selain itu, agenda membaik pulih klinik kesihatan daif perlu kekal menjadi keutamaan, dengan kemudahan penjagaan primer dinaik taraf sekurang-kurangnya ke kapasiti Klinik Kesihatan Jenis 4, sekali gus meningkatkan keupayaan rawatan di peringkat komuniti dan mengurangkan kesesakan di hospital awam.
Beliau menambah Skim Perubatan Madani perlu diteruskan memandangkan ia terbukti bertindak sebagai penampan dalam mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap hospital awam untuk rawatan ringan.
Kebajikan pekerja kesihatan
Dr Zaliha berkata kebajikan dan kemampanan pekerja kesihatan perlu terus diberi perhatian, dengan restruktur belanjawan dilaksanakan secara berhati-hati bagi mengelakkan kesan berantai terhadap beban kerja, keletihan dan migrasi pakar ke sektor swasta.
“Sebagai rakan strategik kerajaan, BBC akan terus memainkan sistem semak dan imbang yang konstruktif bagi memastikan setiap dasar kewangan negara berlandaskan kesejahteraan rakyat dan kemampanan sistem perkhidmatan awam,” katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah restruktur perbelanjaan kerajaan tidak akan menjejaskan sektor kritikal seperti kesihatan dan pendidikan. Beliau berkata pengambilan doktor dan jururawat baharu serta pembinaan klinik tidak akan terjejas, manakala projek pembinaan sekolah termasuk penambahan bilik darjah baharu akan diteruskan seperti dirancang.



