KKM rancang kongsi fasiliti rehab Perkeso untuk rawat pesakit bukan pencarum
KKM kongsi fasiliti rehab Perkeso rawat pesakit bukan pencarum

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merancang untuk melaksanakan program penyumberan luar perkhidmatan kesihatan (HSOP) bagi membolehkan pesakit bukan pencarum memanfaatkan fasiliti rehabilitasi bertaraf dunia milik Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata langkah itu bagi mengatasi kekangan undang-undang sedia ada di bawah Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), yang mengehadkan kemudahan Pusat Rehabilitasi Perkeso hanya kepada pencarum.

Perbincangan segera untuk manfaatkan teknologi terkini

“Kita mahu segera melakukan dan meneruskan perbincangan itu sehinggakan kita dapat memanfaatkan segala fasiliti rehabilitasi Perkeso yang bertaraf dunia serta dilengkapi teknologi terkini. Melalui HSOP, ia bukan sahaja untuk pencarum tetapi kita juga boleh merawat pesakit-pesakit lain,” katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Kelvin Yii (PH-Kuching) sama ada kerajaan berhasrat meminda Akta 4 dan Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) bagi mewujudkan satu sistem penjagaan kesihatan bersepadu. Dzulkefly menjelaskan ketika ini KKM dikawal selia di bawah Akta 586, manakala pusat rehab Perkeso tertakluk di bawah Akta 4.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

1,076 kes celebral palsy direkodkan dari 2016 hingga 2025

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly memaklumkan KKM merekodkan sebanyak 1,076 kes celebral palsy (CP) di klinik dan hospital kerajaan bagi tempoh 2016 sehingga 2025. Katanya, KKM komited mengambil pendekatan merentas kementerian atau pendekatan keseluruhan kerajaan bersama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) serta Kementerian Sumber Manusia (KSM) untuk mengupayakan golongan itu.

“Kanak-kanak CP ini mempunyai keupayaan kognitif yang hampir sama dan normal. Lebih segera kita ambil pendekatan bersepadu, kita akan dapat mengizinkan anak-anak CP ini kekal produktif dan merealisasikan potensi mereka untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga