Malaysia terlalu bergantung pada import makanan ayam, cari alternatif
Malaysia terlalu bergantung pada import makanan ayam, cari alternatif

KUALA LUMPUR, April 26 — Industri ayam negara masih terlalu bergantung pada sumber makanan import, menyebabkan ia terdedah kepada risiko turun naik pasaran global termasuk kenaikan harga dan gangguan bekalan.

Kebergantungan Tinggi pada Import

Kebergantungan tinggi pada jagung bijian dan kacang soya bukan sahaja memberi tekanan kepada kos pengeluaran, tetapi juga menjadikan rantaian bekalan makanan negara lebih rapuh apabila berhadapan dengan krisis antarabangsa.

Pakar pemakanan haiwan, Prof Dr Hasliza Abu Hassim, berkata Malaysia kini tidak mempunyai pengeluaran jagung dan kacang soya tempatan yang ketara, menyebabkan industri terus bergantung pada import.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Malaysia pada asasnya tidak mempunyai pengeluaran jagung dan kacang soya tempatan yang ketara, jadi kebergantungan pada bahan makanan import kekal tinggi. Implikasinya, kos pengeluaran ayam negara sangat sensitif terhadap harga pasaran global.

“Ini termasuk turun naik kadar pertukaran mata wang dan gangguan kepada rantaian bekalan antarabangsa. Oleh itu, setiap kali berlaku ketidakpastian geopolitik atau kenaikan harga komoditi dunia, industri ayam tempatan akan terjejas secara langsung,” katanya kepada Bernama.

Timbalan pengarah Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFoS), Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata bagi tempoh 2025/2026, import jagung Malaysia dijangka mencecah sekitar 3.8 juta tan, manakala penggunaan soya dianggarkan 1.69 juta tan, dengan sektor ayam sebagai pengguna utama.

Alternatif Mampan

Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan mendesak untuk meneroka sumber alternatif yang lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan pada makanan ternakan import.

Antara yang dilihat berpotensi ialah penggunaan larva lalat askar hitam (BSFL) sebagai sumber protein alternatif. Kajian sebelum ini menunjukkan BSFL boleh digunakan dalam diet ayam pedaging dan ayam kampung tanpa menjejaskan prestasi, malah menyokong pertumbuhan, status metabolik dan kesihatan ternakan.

“BSFL mengandungi protein tinggi antara 30 hingga 45 peratus dan berpotensi mengurangkan kebergantungan pada soya import,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan BSFL bukan pengganti lengkap untuk jagung kerana jagung berfungsi sebagai sumber tenaga, manakala BSFL lebih kepada sumber protein dan lemak.

“Dalam kebanyakan kes, bahan alternatif seperti BSFL hanya sesuai sebagai pengganti separa dan memerlukan formulasi diet yang tepat serta pemprosesan tambahan untuk memastikan kualiti makanan ternakan,” katanya.

Selain BSFL, beberapa bahan lain seperti isirung kelapa sawit (PKC/PKM), dedak padi dan beras hancur juga telah digunakan, tetapi belum digunakan secara meluas disebabkan kekangan dari segi kualiti, variasi nutrien dan kebolehcernaan.

Kelebihan BSFL

Menjelaskan lebih lanjut, Hasliza berkata BSFL juga mempunyai kelebihan kitaran pengeluaran yang cepat, iaitu antara 10 hingga 21 hari bergantung pada persekitaran penternakan.

“Larva ini boleh diternak menggunakan sisa makanan atau sisa pertanian, sekali gus menyokong amalan ekonomi kitaran dan konsep sifar sisa,” katanya.

Namun, beliau menegaskan pengembangan BSFL pada skala komersial memerlukan pengurusan yang teliti, termasuk aspek biosekuriti, kawalan suhu dan kelembapan serta pengendalian selepas tuai.

Inisiatif Industri

Sementara itu, pemain industri telah mula mengambil inisiatif untuk mengurangkan kebergantungan pada makanan import melalui pendekatan alternatif.

Nuralis Agro Sdn Bhd, sebagai contoh, mengumpul lebihan makanan dari kantin sekolah berasrama dan pasar untuk digunakan sebagai makanan tambahan ternakan.

Penyelia ladangnya, Khairulhadzri Mohamad Zain, berkata pihaknya mampu mengumpul antara 20 hingga 30 kilogram sisa makanan setiap hari, termasuk nasi, sayur-sayuran dan buah-buahan yang masih elok.

“Pendekatan ini bukan sahaja mengurangkan kos, tetapi juga membantu mengurangkan sisa makanan,” katanya.

Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan sisa makanan tidak menggantikan dedak komersial sepenuhnya, terutamanya pada peringkat awal penternakan kerana keperluan nutrisi yang lengkap.

“Selepas ayam berusia dua hingga tiga bulan, ia kemudian diperkenalkan secara beransur-ansur sebagai diet tambahan,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Pendekatan gabungan itu, katanya, membantu memastikan ternakan kekal sihat dan menghasilkan daging yang lebih padat, walaupun kadar pertumbuhan sedikit perlahan.

Kesimpulan

Pada masa yang sama, pakar menegaskan pendekatan terbaik pada masa ini bukanlah menggantikan jagung dan soya sepenuhnya, tetapi mengurangkan kebergantungan melalui gabungan sumber alternatif tempatan dan serantau.

Langkah itu dilihat penting untuk memastikan kelangsungan industri ayam negara lebih berdaya tahan dalam menghadapi ketidakpastian pasaran global pada masa hadapan. — Bernama