Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 24 tan minyak masak bernilai RM153,660 di sebuah premis kilang memproses dan membungkus makanan di Ipoh.
Operasi Tiris 4.0
Pengarah KPDN Perak, Kamalludin Ismail, berkata pemeriksaan dijalankan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam di bawah Op Tiris 4.0 oleh sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa. Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menyimpan minyak masak botol lima kilogram yang merupakan barang kawalan.
Beliau menjelaskan, notis mengikut Seksyen 8 Akta Kawalan Bekalan 1961 telah dikeluarkan bagi mendapatkan maklumat berkaitan pemilikan barang kawalan tersebut.
Lebih daripada had permit
“Hasil maklum balas mendapati premis ini mempunyai permit sah untuk menyimpan barang kawalan dan memiliki bekalan semasa minyak masak sebanyak 24,060 kg. Bagaimanapun, semakan lanjut mendapati jumlah tersebut telah melebihi had kuantiti yang dibenarkan iaitu hanya 1,000 kg dalam permit barang kawalan premis tersebut,” katanya menurut Bernama.
Kamalludin berkata, pihaknya menyita keseluruhan minyak masak berkenaan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM153,660.
Tindakan undang-undang
“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 21 akta sama, iaitu memiliki barang kawalan dalam keadaan yang menimbulkan syak berlakunya kesalahan.
“Premis tersebut juga turut dikenakan tindakan di bawah Seksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang yang tidak ditentusahkan dalam urusan perniagaan,” katanya.



