Dua Wanita Ditahan, Bunga Ganja RM14.7 Juta Dirampas
Dua Wanita Ditahan, Bunga Ganja RM14.7 Juta Dirampas

PETALING JAYA: Dua wanita ditahan dan bunga ganja seberat lebih 183 kilogram yang bernilai RM14.7 juta dirampas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Negeri Sembilan pada minggu lalu. Ketua Polis Selangor, Shazeli Kahar, berkata dalam operasi pertama pada 21 April lalu, seorang wanita tempatan berusia 34 tahun ditahan di sekitar Mambau, Negeri Sembilan yang membawa kepada rampasan 18 guni berisi 289 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja seberat 153.7 kilogram di Bandar Seri Sendayan.

Menurutnya, suspek yang tidak bekerja itu negatif dadah dan tiada rekod jenayah lampau. "Polis turut menyita sebuah Honda City dan motosikal XDV250 dengan anggaran nilai keseluruhan RM50,000 di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," katanya menurut Sinar Harian dalam sidang media di IPK Selangor, Shah Alam.

Beliau berkata, kes kedua pada 23 April lalu membabitkan seorang warga asing berusia 24 tahun yang ditahan selepas pihak berkuasa mengesan dua bagasi mencurigakan melalui mesin imbasan di KLIA. "Pemeriksaan awal ke atas dua bagasi itu menemui 60 bungkusan plastik mengandungi ketulan mampat disyaki bunga ganja dengan anggaran berat 30 kilogram. Suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran di negara asalnya didapati negatif dadah dan tiada rekod lampau di Malaysia," katanya sambil menambah mata wang asing kira-kira RM1,500 yang dipercayai ada kaitan dengan aktiviti itu turut disita.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Menurutnya, warga asing itu dipercayai menjadikan Malaysia sebagai transit sebelum ke negara sasaran di sebuah negara Eropah. Beliau berkata, nilai rampasan kes pertama dan kedua masing-masing dianggarkan RM12.3 juta serta RM2.4 juta, dengan dua suspek direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Jelasnya, dua kes itu tiada kaitan satu sama lain dan dipercayai membabitkan sindiket berbeza. Katanya, wanita tempatan itu dipercayai antara dalang, manakala warga asing terbabit berperanan sebagai keldai dadah yang menerima upah lumayan, dengan kos perjalanan ditanggung sindiket. "Wanita warga asing tersebut dipercayai berasal dari negara jiran dan berada di Malaysia sejak tahun lalu sebagai transit sebelum ke negara lain," katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga