Dua Lelaki Didakwa Edar Dadah Lebih 130kg di Tawau
Dua lelaki telah didakwa di Mahkamah Majistret Tawau hari ini atas tuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat lebih 130 kilogram pada bulan lepas. Tertuduh, Ng Chuan Tong, 51, yang bekerja di sebuah premis peminjam wang berlesen, dan penghantar barang, Herman Patte, 35, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh memandangkan kes ini berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, lapor Bernama. Mereka didakwa dengan niat bersama-sama mengedar dadah berbahaya dengan berat kasar 130,575.18 gram di Batu 15 Jalan Apas, Tawau, pada pukul 9.30 malam, 21 April lepas.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau dipenjara seumur hidup serta maksimum 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Haikal Hazwan Md Yatin, manakala kedua-dua lelaki itu tidak diwakili peguam. Majistret Dayang Aidaku Amira tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh, dan menetapkan 2 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.



