Perdebatan tentang siapa yang layak digelar Raja Rock Malaysia kembali hangat di media sosial. Ia bermula daripada majlis pelancaran konsert yang bakal disertai Awie. Apabila ditanya tentang gelaran tersebut, Awie menyatakan dia tidak pernah memikirkan soal gelaran kerana baginya, dia hanya cuba menghiburkan orang ramai dengan bakat yang dianugerahkan. Namun, Awie meletakkan Amy daripada kumpulan Search sebagai paling layak digelar Raja Rock.
Pandangan Berbeza daripada Pemuzik
Belum reda perdebatan, pemain gitar terkenal Jo Branko tampil dengan kenyataan bahawa bukan Amy seorang yang wajar digelar sedemikian, sebaliknya kumpulan Search yang dianggotainya itulah 'godfather' rock sebenar. Menurut Jo Branko, rock itu datang sebagai sebuah band, bukan solo. Perbezaan pandangan ini mencerminkan sikap masyarakat yang gemar melantik raja dalam dunia hiburan.
Gelaran Tidak Rasmi dalam Industri Hiburan
Kita sudah biasa dengan gelaran seperti Raja Pop, Raja Gelek, Raja Lawak, Raja Dangdut, Ratu Jazz, Ratu Rock dan tentunya Raja Rock. Namun, semua gelaran ini tidak rasmi kerana tiada badan khas yang mengiktirafnya. Malah, tiada trofi atau sijil pun. Mengapa kita suka sangat mencari raja? Dalam budaya popular, kita suka mewujudkan simbol atau ikon yang mewakili sesuatu zaman, emosi atau identiti kolektif.
Kriteria Menjadi Raja Rock
Apabila bercakap tentang rock, kriterianya lebih rumit. Adakah Raja Rock ditentukan melalui vokal semata-mata? Ramai penyanyi mempunyai teknik vokal yang baik, tetapi Raja Rock bukan seperti pertandingan vokal dalam program realiti televisyen. Rock mesti bersuara serak, bernada tinggi, dan mampu menjerit. Itulah yang memberikan jiwa kepada rock. Mus May dan Mael XPDC juga memiliki kelebihan ini. Yantzen daripada Rusty Blade atau Nash Lefthanded juga cukup berpengaruh pada zaman kemuncak band mereka.
Jika dinilai berdasarkan pengaruh, skopnya menjadi lebih besar. Seorang penyanyi rock bukan sekadar menyanyikan lagu, tetapi membentuk gaya hidup, fesyen, gerak laku dan sikap generasi tertentu. Suaranya mewakili generasi waktu itu. Dia diangkat sebagai suri teladan atau 'role model'. Biasanya, imej ikon rock mesti nampak gaya budak jahat atau 'rebel'. Ada rockers yang cuma jadi-jadian dengan fesyen pakaian yang gempak tetapi rupanya 'mat skema'. Tiada 'attitude' rock. 'Attitude' atau pembawaan diri itulah menjadi identiti kepada seseorang ikon atau dewa.
Karisma dan Ketahanan Lama
Karisma memainkan peranan yang besar. Ada penyanyi yang suaranya bagus tetapi tidak mempunyai aura. Sebaik sahaja melangkah ke pentas, ada individu tertentu yang terus menguasai perhatian penonton walaupun hanya berdiri diam. Amy, Awie dan Mael ada 'barang' ini. Di atas pentas, aura lebih penting daripada kesempurnaan teknikal. Suara Amy sudah tidak seperti dulu, Awie pun pernah menghadapi masalah suara di pentas, dan Mael sering 'pancit', tetapi sorakan semangat penonton kepada mereka lain macam. Itulah yang melahirkan istilah dewa atau raja.
Dari karisma muncul satu lagi elemen penting, iaitu tahan lama (longevity). Bukan mudah untuk kekal relevan selama puluhan tahun. Industri hiburan sentiasa berubah, selera generasi juga berubah. Ada artis yang meledak beberapa tahun kemudian tenggelam. Ada pula yang berjaya bertahan merentasi dekad. Apabila anak muda yang lahir selepas era kegemilangan rock masih mengenali lagu-lagu sesebuah band, ia menunjukkan band itu berpengaruh. Amy, Awie, Mael atau Mus telah melepasi syarat ini.
Gelaran Individu atau Kumpulan?
Perdebatan tentang Raja Rock juga membuka persoalan sama ada gelaran itu milik seorang individu atau sebuah band. Ada pandangan yang mengatakan seorang 'frontman' layak diangkat sebagai Raja Rock kerana dialah yang membawa band naik. Penonton biasanya mengingati suara dan figura penyanyi di atas pentas. Mereka menjerit nama penyanyi, bukan nama barisan pemuzik, walaupun pemuzik juga 'menyanyi' dengan alat muzik mereka. Tetapi tanpa bunyi tersendiri, mana mungkin mereka boleh menjadi sebuah band beridentiti. Inilah maksud Jo Branko. Ahli band ialah sekumpulan manusia yang bersama-sama mencipta identiti dan bunyi kerja-kerja mereka.
Liputan media pula dipengaruhi oleh elemen pop. Muzik pop lebih berpusat kepada individu. Secara tidak sedar, publisiti terhadap sesebuah kumpulan atau band sama seperti memberi publisiti kepada penyanyi pop. Maka, penyanyi band lebih diberi keutamaan menghiasi muka depan majalah serta surat khabar. Jarang kita nampak pemain bass atau drum berposing di tepi kolam renang bersama artis wanita yang sedang popular. Vokalis lain. Vokalis bela kucing Siam pun mesti dijadikan bahan berita.
Di Malaysia, penyanyi kumpulan masih boleh muncul menyanyi secara solo di program konsert 'menyanyi ramai-ramai' atau karnival tetapi membawa lagu daripada kumpulannya. Hal ini menjadi biasa walaupun Mus (pemain gitar kumpulan Satira) pernah berkata di sebuah podcast, band mereka tidak ada 'minus one' untuk dinyanyikan oleh penyanyi di pentas tanpa anggota band. Bagi Mus, muzik yang mengiringi vokal itu adalah karya pemuzik yang harus diiktiraf sama.
Sejarah Rock Malaysia dan Semangat Rock
Letak tepi dulu perbincangan tentang asal-usul rock yang lahir daripada suara protes di Barat. Di Malaysia, rock lahir melalui muzik dan fesyen, bukannya protes terhadap penindasan atau ketidakadilan. Awal 90-an, dua calon Raja Rock kita pernah tewas di tangan seorang pak menteri tua yang memotong rambut mereka secara langsung di kaca televisyen. Tiada protes besar-besaran berlaku. Mungkin konteks masyarakat kita berbeza. Mungkin industri hiburan ketika itu terlalu kecil dan tidak memberi ruang, atau mungkin rockers sendiri sekadar mahu menjadi penghibur, bukan aktivis budaya atau pejuang generasi.
Namun, sejarah itu tetap penting apabila kita berbincang tentang siapa yang layak digelar Raja Rock Malaysia. Kerana gelaran itu bukan sekadar soal vokal atau aura pentas. Ia juga soal sejauh mana seseorang benar-benar membawa semangat rock itu sendiri, iaitu berani dan lantang, sekeras muzik mereka.
Kesimpulan: Tidak Perlu Ada Gelaran
Pada akhirnya, tak perlu kita memberi gelaran siapa raja siapa bukan. Semua nama yang menghiburkan kita masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri dan mereka hadir memberi 'khidmat' kepada kita dalam bentuk hiburan. Itu profesi mereka. Kita hargai perkhidmatan mereka sebagaimana kita hargai profesi lain seperti cikgu, doktor, guru agama, tukang masak, dan tukang angkut sampah. Kita saling memerlukan.
Mengapa tak perlu ada gelaran Raja Rock? Sebab ceritanya takkan habis. Selain gelaran Raja Rock, peminat muzik genre tersebut juga memberi gelaran kepada dua beradik pemain gitar kumpulan Search, iaitu Nordin Taib sebagai King of Rhythm dan Kid (Hamzah Taib) sebagai King of Tremolo. Habis, bagaimana dengan yang lain? Hillary Ang, Man Kidal, Jo Branko atau Izo? Berapa banyak 'raja' kita perlu ada? Kita layan kepala saja sudah. Tapi apa pun, wa tetap caya sama lu!
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.



