Kasihan si roti canai: disebut 'kanai' di pentas AS
Kasihan si roti canai: disebut 'kanai' di pentas AS

Kasihan si roti canai. Apabila masak masakan Malaysia, sebutlah betul-betul. Roti canai merupakan kegemaran rakyat Malaysia. Melayu, India, Cina, dan kawan-kawan di Borneo – semua menyukainya. Kita nikmatinya waktu sarapan, minum petang, makan malam, malah lewat malam sebagai 'supper'. Ada dalam kalangan kita cukup minat ia dibakar garing dan disaji banjir.

Roti canai kalah kepada nasi lemak

Namun, roti canai tetap kalah kepada nasi lemak sebagai makanan kebangsaan. Umum mengiktiraf nasi lemak sebagai makanan nasional. Mungkin kerana roti canai dibawa dari luar, jadi tidak 100% asli Malaysia. Roti canai diperkenalkan atau dibawa ke Malaya oleh masyarakat India Muslim.

"Ya setahu saya begitu. Oleh Mamak, Tamil Muslim. Mungkin juga oleh Kaka dari Malabar. Kaka ialah Kerala Muslim," kata wartawan Jahabar Sadiq. Jahabar sering menulis mengenai makanan dan pernah menerbitkan buku mengenai nasi kandar berjudul 'Kandaqstan'. Kata beliau, roti canai boleh didapati di India dan Singapura hingga sekarang, cuma dikenali sebagai paratha. Roti sama nama lain.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Semasa saya budak-budak dulu, nama roti paratha digunakan di restoran India Muslim di Kuala Lumpur. Saya tidak tahu bila roti paratha menjadi roti canai khususnya di Kuala Lumpur. Tiba-tiba hilang paratha, wujud canai.

Kebanggaan roti canai Malaysia

Sesuatu yang membanggakan, roti canai di Malaysia bukan sahaja dibuat oleh masyarakat India – Muslim atau bukan Muslim. Orang Melayu juga ramai yang pandai menebar dan membakar. Roti canai Melayu tidak kurang hebatnya. Namun, roti canai tidak mendapat pengiktirafan yang sepatutnya. Kita sering mengambilnya mudah.

Baru-baru ini, keadaan seakan berubah. Ada cahaya di hujung terowong. Roti canai dibawa ke pentas antarabangsa. Seorang content creator bernama Jaime Tan mengambil bahagian dalam pertandingan MasterChef AS. Beliau menyediakan apa yang dikatanya sebagai 'a flaky flatbread that we eat in Malaysia with Malaysian coconut curry'.

Saya tidak pasti sama ada Tan warga Malaysia. Bunyi seperti Malaysian – 'we eat in Malaysia' – tetapi bunyi kadangkala boleh menipu. Bagaimanapun, ayahnya menurut says.com adalah warga Malaysia. Apa pun, sajian Tan menyelerakan dan memikat hati Gordon Ramsay dan panel, lantas Tan menang salah satu cabaran MasterChef AS. Tahniah. Bukan sahaja untuk Tan tetapi untuk roti canai. Akhirnya roti canai mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Namun, Tan memanggil roti canai masakannya 'roti kanai'. Stand-up comedian Jason Leong dalam klip video pendek berkata, "for the record it's pronounced roti cha nai..you ##++**." Jika anda belum tengok klip Leong, silalah. Ada di YouTube. Menarik dan lucu. Jadi, yang diumumkan di pentas AS ialah roti kanai, bukan roti canai.

Saya ulang tajuk artikel ini: Kasihan si roti canai. Kanai yang terkenal, bukan canai. Kata Leong, "I don't think that person (Tan) has ever been to Malaysia or has ever eaten that dish that she cooked." Mungkin ada benarnya kata-kata Leong. Bagaimanapun, Leong mengucapkan kepada Tan, "good luck semoga maju jaya syabas tahniah please advance to the next round, cook more Malaysian dishes and pronounce them correctly and Malaysians will eventually forgive you." Kena tengok video untuk merasai apa yang dikata.

Saya sependapat dengan Leong. Ya, lain kali kalau masak masakan Malaysia, sebutlah betul-betul.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga