Budayawan dan penggiat seni tersohor, Raja Ahmad Aminullah, mengabadikan warkah peribadi bersama tokoh penting tanah air menerusi karya terbarunya, Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-pelaku Zaman. Buku setebal 169 halaman ini dilancarkan di Kuala Lumpur, dengan kehadiran Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, Khair Ngadiron, serta barisan penggiat seni, sasterawan, ahli akademik, dan rakan-rakan.
Bukan buku politik, sebaliknya dokumentasi sosiobudaya
Raja Ahmad yang lebih mesra disapa Pak Engku menegaskan bahawa karya ini bukanlah buku politik, sebaliknya pendokumentasian sosiobudaya dan pemerhatian beliau terhadap persekitaran masyarakat. "Saya tidak menulis buku-buku politik, saya menulis buku yang memerihalkan persekitaran saya dan persoalan sosiobudaya masyarakat. Saya tidak berminat dengan politik perkelahian, saya tak minat dengan proses politik kerana ia hanya pemerhatian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran.
Menyingkap inti pati naskhah tersebut, Pak Engku menjelaskan bahawa penulisan itu tidak bertujuan memfokuskan atau mengangkat mana-mana individu secara khusus, sebaliknya ia adalah perkongsian untuk dijadikan iktibar dan pengajaran bersama. "Buku ini bukan mengenai Mahathir Mohamad, bukan mengenai Anwar Ibrahim dan pastinya bukan mengenai penulisnya yang 'inconsequential'. Ia hanyalah rakaman satu episod yang berlaku sekitar 25 tahun lepas agar semua kita dapat manfaat daripada pengajaran terkandung di dalamnya," ujarnya.
Mengabadikan ingatan untuk generasi akan datang
Penerbitan ini merupakan usaha Pak Engku untuk mengabadikan ingatan serta peranan pernah dimainkannya dalam lipatan sejarah, untuk dinilai generasi akan datang dari sudut pandang lebih terbuka. Naskhah tersebut dijangka menjadi bahan rujukan penting buat peminat sastera, sejarah, dan sains sosial yang mahu memahami naratif perjuangan tokoh tempatan menerusi sudut pandang lebih manusiawi.
Buku Sepucuk Surat Sebuah Episod: Rakaman Pelaku-pelaku Zaman diterbitkan oleh Lestari Hikmah dan dijual pada harga RM30 bagi kulit lembut serta RM80 bagi kulit keras. Ia boleh dibeli di kedai buku fizikal, acara tertentu, mahupun dalam talian.



