Konsert 4 Dekad Fauziah Latiff Tarik Hampir 3,000 Peminat
KUALA LUMPUR, 12 Mei — Mencecah empat dekad dalam industri hiburan bukan sekadar angka; ia adalah perjalanan panjang penuh suka duka, kenangan indah dan penghargaan tulus, yang semuanya terangkum dalam konsert 4 Decades Fauziah Latiff Live in Concert baru-baru ini.
Berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), konsert itu menjadi platform buat Fauziah Latiff, 56 tahun, yang mesra disapa Kak Gee, untuk merenung perjalanan seninya melalui persembahan emosional dan nostalgia yang meraikan ikatan kukuh dengan peminat sejak awal kariernya.
Hampir 3,000 peminat memenuhi dewan, kebanyakan berpakaian putih sebagai simbol perpaduan dan sokongan tidak berbelah bahagi kepada penyanyi yang sinonim dengan balada cinta abadi.
Sejak melangkah ke pentas, Fauziah menunjukkan kerendahan hati, mengakui malam itu bukan tentang mengejar kesempurnaan teknikal, tetapi keikhlasan seorang seniman untuk peminat setia yang menyokongnya sejak era kaset.
“Mungkin tidak sempurna (nyanyian), tapi saya benar-benar berharap semua yang hadir malam ini akan pulang dengan kenangan indah bersama saya,” katanya sebak.
Lebih dua jam persembahan membawa penonton menelusuri setiap babak karier Fauziah dengan 22 lagu hits termasuk Setiaku Korbankan, Tua Mengejar Kita, Enggan, Dia, Sahabat, Dari Kaki Tangga Ke Menara dan Teratai Layu di Tasik Madu.
Walaupun usia mungkin mengubah kekuatan vokalnya berbanding zaman kegemilangan, Fauziah mengimbanginya dengan ekspresi emosi mendalam, menjadikan setiap lirik terasa lebih hidup dan menyentuh hati penonton.
Susunan muzik matang, digabungkan dengan visual LED sinematik di pentas, turut meningkatkan mutu persembahan, memberikan setiap segmen nilai cerita yang elegan dan halus.
Penampilan anggun Fauziah dalam empat rekaan hebat pereka Ezuwan Ismail turut mengimbau kenangan era kegemilangannya, membawa penonton kembali ke puncak popularitinya.
Suasana semakin meriah apabila hampir seluruh penonton turut menyanyi, menjadikan Plenary Hall sebagai pertemuan tulus antara generasi yang membesar dengan lagu-lagunya.
Antara detik paling menonjol adalah apabila Fauziah menyanyikan Enggan, lagu yang diakuinya paling mencabar untuk dipersembahkan secara langsung, namun dibawakan dengan keyakinan emosi yang luar biasa.
“Masya-Allah, lutut saya bergetar. Lagu ini betul-betul pembunuh (sukar). Penerbit pun tahu dari awal. Ia lagu paling menakutkan di dunia untuk saya nyanyikan,” guraunya, mendapat sorakan peminat.
Malam yang tidak dapat dilupakan itu turut dimeriahkan dengan kemunculan ‘Raja Pop’ Datuk Jamal Abdillah yang berduet dengan Fauziah menerusi Kehebatan Cinta, serta sokongan artis lain seperti Ziana Zain, Liza Hanim, Rozita Che Wan, Amylea Azizan dan Azah Aziz.
Tanpa gimik berlebihan, konsert itu membuktikan bahawa kekuatan sebenar seorang penghibur terletak pada kemampuan berkongsi emosi dan keikhlasan.
Fauziah Latiff akhirnya menunjukkan bahawa walaupun masa terus berlalu, kenangan dan emosi yang dijalin melalui muziknya akan kekal abadi merentas generasi. — Bernama



