Kerajaan kekalkan kuota BUDI95 200 liter sebulan, harga RON95 kekal RM1.99
Kerajaan kekal kuota BUDI95 200 liter, harga RON95 RM1.99

KUALA LUMPUR, 28 April — Kerajaan akan mengekalkan kuota bulanan sementara bagi inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) pada 200 liter buat masa ini di tengah-tengah krisis bekalan global, kata Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.

Keputusan berdasarkan keperluan semasa

Beliau berkata semua keputusan akan dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Majlis Tindakan Ekonomi Negara berdasarkan keperluan semasa dan kemampuan ekonomi negara.

“Kita perlu melihat situasi yang lebih luas, termasuk bekalan minyak. Setakat ini, keadaan masih terkawal dan kerajaan memantau perkembangan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Kita juga telah mempelbagaikan sumber minyak dan tidak hanya bergantung kepada bekalan dari negara-negara Timur Tengah,” katanya kepada Bernama ketika muncul dalam program Ruang Bicara Bernama TV semalam.

Kuota dikurangkan berikutan konflik Asia Barat

Kerajaan buat sementara waktu menyemak semula kuota BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan berkuat kuasa 1 April 2026 susulan konflik di Asia Barat, manakala harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Muhammad Kamil berkata kerajaan terus berusaha mengekalkan subsidi bahan api walaupun terdapat cadangan Bank Dunia untuk menyemak semula harga RON95 bersubsidi kepada RM2.05 seliter.

“Walaupun terdapat sedikit tentangan awal, pelarasan subsidi telah berjalan dengan baik dan kami berjaya mengurangkan ketirisan dengan ketara. Itulah sebabnya kami dapat mengekalkan pendekatan semasa,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga